LONDON: Individu tertua di dunia yang masih hidup, Ethel Caterham, menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-117 selepas melalui setahun yang menyaksikan “banyak perkara pertama”, termasuk bertemu Raja Britain, Raja Charles III dan memegang tangannya.
Caterham, yang menetap di Hallmark Lakeview Care Home di Lightwater, Surrey, barat daya London, meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan bagi meraikan hari istimewa itu pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata: “Terima kasih atas semua ucapan selamat hari lahir yang diberikan. Walaupun sudah berusia 117 tahun, saya mengalami banyak perkara pertama tahun ini, daripada membelai llama hinggalah memegang tangan Raja.
“Saya menikmati hari yang indah bersama keluarga dan rakan-rakan, dan saya menantikan apa yang bakal dilalui tahun depan.”
Caterham dikunjungi Charles, yang memegang tangannya ketika memperkenalkan diri, pada September tahun lalu, tidak lama selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-116.
Beliau menjadi individu tertua yang masih hidup pada April 2025 selepas kematian biarawati Brazil, Sister Inah Canabarro Lucas, pada usia 116 tahun.
Ketika bertemu Charles, Caterham mengimbas upacara pelantikan Charles sebagai Putera Wales pada 1969 ketika baginda berusia 21 tahun, sambil berkata: “Semua gadis jatuh cinta dengan anda dan mahu berkahwin dengan anda.”
Caterham dilahirkan pada 21 Ogos 1909 di Shipton Bellinger, Hampshire, lima tahun sebelum bermulanya Perang Dunia Pertama, dan merupakan anak kedua bongsu daripada lapan beradik.
Beliau merupakan rakyat terakhir yang masih hidup di bawah pemerintahan Raja Edward VII, yang mangkat pada Mei 1910.
Pada 1927, ketika berusia 18 tahun, beliau pergi ke India dan bekerja sebagai pengasuh kepada sebuah keluarga tentera sehingga berusia 21 tahun.
Beliau bertemu suaminya, Norman, seorang Leftenan Kolonel dalam Tentera Darat British yang meninggal dunia pada 1976, pada satu majlis makan malam di Britain pada 1931.
Mereka menetap di Salisbury sebelum Norman ditugaskan ke Gibraltar dan Hong Kong. Caterham menubuhkan sebuah tadika ketika berada di Hong Kong dan membesarkan dua anak perempuan, yang kedua-duanya meninggal dunia sebelum beliau.
Seorang daripada saudara perempuannya, Gladys, hidup sehingga usia 104 tahun.
Caterham memandu kereta sehingga berusia 97 tahun dan gemar bermain contract bridge ketika memasuki usia 100-an. Beliau juga berjaya pulih daripada COVID-19 pada 2020 ketika berusia 110 tahun.
Gelaran individu paling tua yang pernah direkodkan dipegang oleh wanita Perancis Jeanne Calment, yang hidup sehingga usia 122 tahun 164 hari, menurut Guinness World Records. – Bernama-PA Media/dpa





