BINTULU: Perpustakaan Awam Bintulu perlu diperkasa sebagai pusat sehenti bagi membolehkan masyarakat mengenali sejarah, budaya serta perkembangan dan perancangan masa depan bandar itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, peranan perpustakaan tidak seharusnya terhad kepada aktiviti membaca dan peminjaman buku, sebaliknya perlu diperluas sebagai platform penyampaian maklumat mengenai identiti dan perkembangan setempat.
Beliau memberitahu, pendekatan lebih kreatif dan interaktif juga boleh digunakan bagi menarik lebih ramai pengunjung, khususnya golongan muda.
“Sebagai contoh, belacan merupakan antara produk yang mempunyai kaitan dengan Bintulu dan sejarah penghasilannya boleh diketengahkan melalui pameran atau aktiviti interaktif.
“Ini membolehkan masyarakat mengetahui bukan sahaja produk itu, tetapi juga latar belakang serta warisan yang berkait dengannya,” katanya kepada media selepas Lawatan Penilaian Tapak Anugerah Perpustakaan Awam 2026 di Perpustakaan Awam Bintulu, hari ini.
Johnny Pang berkata, sejarah Bintulu yang berkembang daripada sebuah perkampungan nelayan kepada bandar perindustrian penting juga wajar dipelihara dan dipersembahkan dalam bentuk yang mudah difahami masyarakat.
Menurutnya, maklumat mengenai pembangunan semasa dan perancangan masa depan Bintulu turut boleh diketengahkan bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai hala tuju bandar itu.
“Orang datang ke perpustakaan bukan sahaja untuk membaca, tetapi boleh mengetahui apa yang telah berlaku di Bintulu, apa yang sedang berlaku dan apa yang dirancang untuk masa depan,” ujarnya.
Tambah beliau, antara perkembangan yang boleh diketengahkan termasuk usaha berkaitan penangkapan karbon dan Kluster Industri Rendah Karbon.
Johnny Pang berkata, penggabungan elemen sejarah, budaya, industri dan pembangunan masa depan akan membolehkan perpustakaan memainkan peranan lebih besar sebagai pusat informasi setempat.
Dalam pada itu, Lawatan Penilaian Tapak Anugerah Perpustakaan Awam 2026 merupakan sebahagian daripada proses penilaian bagi Anugerah Perpustakaan Awam Premier Sarawak 2026.
Panel penilai diketuai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Datu Rashidah Bolhassan dan turut disertai Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datin Paduka Mastura Muhamad.
Panel berkenaan turut meninjau ruang rujukan, bilik sejarah tempatan, ruang pencipta, ruang bacaan, ruang bacaan kanak-kanak, bilik aktiviti kanak-kanak serta Perpustakaan Bergerak.
Johnny Pang berkata, aspek persekitaran, reka bentuk dan kemudahan perpustakaan masih mempunyai ruang untuk ditambah baik bagi mewujudkan suasana lebih menarik serta menggalakkan masyarakat berkunjung.
Beliau dapat memperkukuh peranan Perpustakaan Awam Bintulu dalam membudayakan membaca, memelihara warisan tempatan serta menjadi sumber maklumat mengenai perkembangan bandar berkenaan.
Oleh Carolyne Utih




