BAU: Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun maut selepas dipercayai terjatuh secara tertiarap ke dalam sungai ketika menangkap ikan bersama saudara dan rakannya di kawasan Sungai Taman Limbang, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira 11.30 malam.
“Secara tiba-tiba, mangsa terjatuh secara tertiarap ke dalam sungai dan dipercayai tidak sedarkan diri. Pengadu segera menarik mangsa keluar dari air sebelum membawanya ke Hospital Bau menggunakan sebuah kereta,” katanya.
Haide berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan di Unit Kecemasan Hospital Bau pada 12.23 tengah malam tadi.
Beliau berkata pemeriksaan awal terhadap mayat mendapati tiada kecederaan mencurigakan atau unsur jenayah.
“Kes disiasat sebagai laporan mati mengejut. Polis turut merakam percakapan pengadu dan saksi, manakala bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.





