HYDERABAD: Kerajaan India membenarkan import satu juta tan gula mentah tanpa duti sehingga 31 Oktober bagi meningkatkan bekalan domestik dan membendung kenaikan harga runcit.
“Dasar import gula mentah dipinda bagi membenarkan import tanpa duti sebanyak 10 lakh tan metrik (1 lakh bersamaan 100,000) di bawah kuota kadar tarif (TRQ) sehingga 31.10.2026,” menurut Direktorat Jeneral Perdagangan Luar, Kementerian Perdagangan dalam satu notifikasi semalam.
Langkah itu diambil susulan kenaikan ketara harga gula di pasaran pengguna sejak kebelakangan ini.
India ialah pengeluar gula kedua terbesar dunia dan pengguna terbesar komoditi itu.
Menurut laporan agensi berita PTI yang memetik sumber industri gula, harga gula di kilang ialah kira-kira 5,500 rupee (AS$57.5) bagi setiap 100 kilogram, meningkat sekitar 41 peratus berbanding tahun lepas.
“Langkah proaktif yang diambil kerajaan akan segera meredakan spekulasi dan memastikan bekalan mencukupi kepada pengguna pada harga yang munasabah dan stabil sepanjang tahun akan datang,” menurut Jabatan Makanan dan Pengagihan Awam, Kementerian Hal Ehwal Pengguna menerusi hantaran di X.
Sebelum ini, Kementerian Hal Ehwal Pengguna menetapkan had sementara penyimpanan gula bagi pengguna berskala besar seperti pengusaha makanan manisan, pengeluar minuman ringan dan industri pemprosesan makanan.
Pengguna yang menggunakan 10 tan atau lebih gula setiap bulan kini hanya dibenarkan menyimpan stok gula untuk tempoh maksimum penggunaan selama 15 hari. – Bernama





