LAGOS: Lebih 40 orang kebanyakannya kanak-kanak, maut selepas sebuah bot sarat membawa petani dan pekerja terbalik di negeri Sokoto, barat laut Nigeria pada Khamis, menurut pegawai dan saksi.
Menurut Anadolu Ajansi, bot itu terbalik berhampiran bandar Gorau di Kawasan Kerajaan Tempatan Goronyo ketika para penumpang dalam perjalanan ke kawasan pertanian untuk menanam atau menuai padi.
Pengurus Pihak Berkuasa Laluan Air Pedalaman Kebangsaan Nigeria (NIWA) bagi negeri Sokoto Abdulkadir Yusuf pada awalnya memaklumkan angka kematian ialah 40 orang, namun berkata jumlah itu masih dalam proses pengesahan.
Bagaimanapun, seorang saksi memberitahu Anadolu bahawa kira-kira 47 mayat, kebanyakannya dibalut dengan tikar dan kain tradisional, ditempatkan di sebuah masjid di Gorau sebelum dikebumikan pada petang Khamis.
Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Sokoto, Nasiru Adam berkata kebanyakan mereka yang berada di dalam bot berusia antara 10 hingga 15 tahun.
“Bot itu membawa hampir 70 orang.
“Lebih 40 mayat telah ditemukan, manakala 16 orang diselamatkan ketika operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan,” katanya.
Penduduk tempatan Samaila Garba, 55, berkata cucunya Jamila Usman, 13, antara yang terkorban.
Pada Januari, sekurang-kurangnya 25 orang maut selepas sebuah bot bocor terbalik di negeri Yobe, timur laut Nigeria. – Bernama-Anadolu





