Dua rumah terbakar, satu musnah 100 peratus

Facebook
WhatsApp
MUSNAH...Pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran rumah dalam kejadian di Kampung Dagang, Jalan Masjid Baru, Bekenui, hari ini.

MIRI: Dua keluarga berdepan detik cemas apabila dua rumah mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Dagang, Jalan Masjid Baru, di Bekenu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.12 pagi itu, sebuah rumah tidak kekal berkeluasan 50 kaki x 40 kaki musnah 100 peratus, manakala rumah bersebelahan turut mengalami kerosakan kira-kira 15 peratus akibat bahang.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.12 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi.

“Pasukan tiba pada 10.45 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan dua buah rumah.

“Anggota menggunakan dua aliran sepanjang 100 kaki dengan dua nozel serta sumber air daripada pili bomba bagi memadam dan mengawal kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal 11.40 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.55 pagi.

Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Oleh Liong Chai Ling