KUALA LUMPUR: Sebanyak 58,079 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi ke-32 Tahun 2026 (ME 32/2026), meningkat 56.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 55 kematian akibat komplikasi demam denggi turut direkodkan dalam tempoh berkenaan.
Peningkatan kes pada peringkat awal banyak tertumpu di Lembah Klang, khususnya Selangor serta Kuala Lumpur dan Putrajaya, susulan itu KKM melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan secara intensif dan berfokus.
Menurut KKM, tindakan berkenaan termasuk pengesanan awal kes, kawalan vektor, pengurusan wabak serta mobilisasi anggota bagi memperkukuh kapasiti respons di lapangan.
“Tindakan dipergiatkan ini mula menunjukkan perkembangan positif di Lembah Klang. Namun, risiko penularan denggi masih tinggi dan situasi di peringkat nasional masih membimbangkan berikutan peningkatan kes yang kini turut dikesan di beberapa negeri lain,” menurut kenyataan itu hari ini.
Berdasarkan perbandingan mengikut negeri sehingga 15 Ogos lepas, Perlis merekodkan peningkatan peratusan tertinggi iaitu 207 peratus dengan 169 kes berbanding 55 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Ia diikuti Johor dengan peningkatan 109 peratus kepada 8,639 kes daripada 4,140 kes, manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat 106 peratus kepada 10,316 kes daripada 5,013 kes.
Selangor pula merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 25,090 kes, meningkat 61 peratus berbanding 15,610 kes tahun lepas.
Peningkatan turut direkodkan di Labuan sebanyak 86 peratus, Terengganu (70 peratus), Perak (43 peratus), Negeri Sembilan (42 peratus), Sabah (34 peratus), Sarawak (33 peratus), Pahang (11 peratus) dan Kelantan (10 peratus).
Bagaimanapun, tiga negeri mencatatkan pengurangan kes iaitu Pulau Pinang sebanyak 26 peratus kepada 916 kes daripada 1,233 kes, Melaka 36 peratus kepada 477 kes daripada 745 kes dan Kedah 60 peratus kepada 599 kes daripada 1,489 kes.
KKM berkata peningkatan kes denggi dipengaruhi pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca tidak menentu apabila taburan hujan yang diselang-seli cuaca panas membentuk persekitaran kondusif untuk pembiakan nyamuk Aedes.
“Kewujudan banyak bekas menakung air yang tidak diselenggara di kawasan kediaman dan persekitaran juga menyumbang kepada peningkatan risiko pembiakan nyamuk Aedes dan penularan demam denggi,” menurut kenyataan itu.
KKM berkata pencegahan dan kawalan denggi memerlukan pendekatan seluruh masyarakat, khususnya apabila lebih 70 peratus tempat pembiakan Aedes masih ditemui di kawasan kediaman.
Orang ramai diseru memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes di dalam dan sekitar kediaman, selain mengambil langkah perlindungan daripada gigitan nyamuk.
KKM turut menasihatkan orang ramai mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera sekiranya mengalami demam atau tanda-tanda amaran demam denggi.
Kementerian itu akan terus memantau situasi secara rapi dan menyesuaikan intervensi berdasarkan perkembangan epidemiologi semasa. – Bernama





