STIDC, KSFA teroka kerjasama perkukuh industri perabot

Facebook
WhatsApp
PENGURUS Besar STIDC, Datu Zainal Abidin Abdullah menyampaikan cenderamata kepada Presiden KSFA, Cindy Kong sambil disaksikan wakil STIDC dan KSFA di Ibu Pejabat STIDC, Petra Jaya, semalam.

PETRA JAYA: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan Persatuan Perabot Kuala Lumpur dan Selangor (KSFA) meneroka potensi kerjasama bagi memperkukuh industri perabot serta membuka lebih banyak peluang perniagaan dalam sektor perkayuan di Sarawak.

Perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat delegasi sembilan anggota KSFA yang diketuai Presidennya, Cindy Kong ke STIDC, semalam.

Delegasi berkenaan disambut Pengurus Besar STIDC, Datu Zainal Abidin Abdullah.

Zainal Abidin berkata, kunjungan itu menjadi platform untuk menghubungkan keupayaan kukuh KSFA dalam sektor pembuatan serta rangkaian pasaran antarabangsa dengan sumber kayu mampan dan infrastruktur perindustrian Sarawak yang semakin berkembang.

Menurutnya, Sarawak kini bergerak ke arah penggunaan lebih meluas sumber kayu daripada hutan tanaman yang mampan dan boleh diperbaharui, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“STIDC komited sepenuhnya untuk menyokong ahli KSFA yang berminat menubuhkan atau mengembangkan operasi mereka di Sarawak.

“Kami berharap kunjungan ini menjadi permulaan kepada hubungan berterusan dan kerjasama lebih kukuh dengan pemain industri tempatan,” katanya.

Sementara itu, Cindy berkata, KSFA menghargai peluang untuk memahami dengan lebih mendalam industri perkayuan Sarawak selain meneroka ruang memperkukuh kerjasama dengan STIDC.

Katanya, persatuan itu turut berminat meneroka potensi penggunaan sumber kayu dan papan lapis Sarawak bagi menghasilkan produk perabot bernilai tambah tinggi untuk pasaran Malaysia serta antarabangsa.

Dalam kunjungan itu, delegasi turut diberi taklimat mengenai sektor perabot Sarawak termasuk rancangan pembangunan dan hala tuju masa depannya oleh Penolong Kanan Pengurus Besar STIDC (Pelesenan, Perancangan dan Pembangunan Industri), Nicholas Andrew Lissem.

Pertemuan berkenaan dijangka membuka ruang kepada jaringan industri yang lebih luas, selain mewujudkan peluang perniagaan dan kerjasama antara pemain industri perabot di Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.