Polis Padawan dekati masyarakat melalui program kesedaran jenayah komersial

Facebook
WhatsApp
POLIS Padawan mendidik orang ramai tentang jenayah komersial.

PADAWAN: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Padawan mengadakan program Ramah Mesra Polis Bersama Komuniti di Pasar Kota Sentosa hari ini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai trend dan modus operandi terkini jenayah komersial.

Ketua Polis Padawan, Superintendan Barry William berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai langkah-langkah mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian dan jenayah komersial lain.

Program yang berlangsung dari 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu menyaksikan seramai 20 orang awam berinteraksi dengan anggota BSJKD Padawan, terdiri daripada 17 dewasa dan tiga warga emas.

“Orang awam diberikan penerangan mengenai trend dan modus operandi terkini jenayah komersil serta fungsi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil,” katanya.

Masyarakat turut diberi penerangan mengenai perkhidmatan dan kemudahan seperti talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997, aplikasi Whoscall serta portal Semak Mule/CCID Check.

Selain itu, polis mengedarkan risalah pencegahan jenayah komersil dan memberi penerangan mengenai penipuan menggunakan resit pembayaran palsu serta transaksi melalui kod QR.

Barry berkata, program itu turut mempromosikan platform media sosial PDRM termasuk @CyberAlertRMP dan @JSJSKDRM supaya maklumat pencegahan jenayah dapat dikongsi bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Beliau berkata, usaha mendekati masyarakat secara berterusan penting bagi meningkatkan kesedaran, memupuk tanggungjawab bersama dalam mencegah jenayah komersial serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap PDRM.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terhadap sebarang transaksi atau tawaran mencurigakan sebelum melakukan pembayaran.

Oleh Connie Chieng