“Bila ia dipijak, umpama memijak kita orang Sarawak” – Pemuda PBB gesa siasatan menyeluruh video pijak bendera Sarawak

Facebook
WhatsApp
HAMPIR 40 anggota Pemuda PBB Sarawak hadir di pekarangan Balai Polis Sungai Maong, Kuching bagi membuat laporan polis berhubung video tular yang didakwa memaparkan seorang individu memijak bendera Sarawak.

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung video tular yang didakwa memaparkan seorang individu memijak bendera Sarawak.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Brahim berkata, perbuatan tersebut disifatkan sebagai amat jelik dan tidak bermoral, selain berpotensi menggugat keamanan serta perpaduan rakyat di negeri ini.

Katanya, bendera Sarawak bukan sekadar lambang negeri, malah merupakan simbol jati diri rakyat Sarawak yang perlu dihormati.

“Bila ia dipijak, umpama memijak kita orang negeri Sarawak. Itu bukan satu benda yang bertamadun bagi kita.

“Kami di Pemuda Negeri menganggap itu satu perkara yang tidak bertamadun,” katanya selepas membuat laporan polis berhubung isu berkenaan di Balai Polis Sungai Maong, di sini, malam semalam.

TANGKAP layar video yang tular di media sosial TikTok memaparkan seorang individu didakwa memijak bendera Sarawak.

Afiq yang juga Timbalan Bendahari Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Pergerakan Pemuda PBB berkata, video yang tular menerusi platform TikTok dan Facebook itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk komen berunsur penghinaan dan sokongan terhadap tindakan berkenaan.

“Bila posting video ini wujud, bermacam-macam komen yang wujud ada yang menghina, ada yang menyokong dan sebagainya.

Ini sekali gus menimbulkan satu keadaan yang tidak kondusif terhadap negeri kita secara amnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa siasatan komprehensif dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang menghasilkan serta menyebarkan video berkenaan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut undang-undang.

Bagaimanapun, Afiq menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan bentuk kesalahan dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Saya tidak boleh mengatakan ya atau tidak sama ada ia dikategorikan sebagai Akta Hasutan.

Tetapi sepanjang kita tahu, biar pihak polis yang melakukan siasatan dan biar pihak pendakwaan yang memutuskannya,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Pergerakan Pemuda PBB, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan, berkata pihaknya menyokong sepenuhnya usaha Pemuda Negeri membuat laporan polis terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Beliau berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi kerjasama dan menjalankan siasatan terhadap pelaku terbabit.

“Kita di Pemuda Negeri memang sentiasa berlandaskan Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Malaysia, di mana kita tidak mahu melihat bendera mana-mana negeri pun dihina dan dipijak seperti inilah. Itulah pendirian kami,” katanya.

Laporan polis berkenaan dibuat oleh Exco Pemuda PBB Negeri, Awang Mahadil Datuk Abang Bujang, berhubung video berkenaan serta beberapa hantaran media sosial yang didakwa mengandungi unsur diskriminasi terhadap rakyat Sarawak.

Dalam laporan itu, pengadu turut memohon PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan lanjut serta mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Tambah Afiq, kira-kira 40 anggota Pemuda PBB hadir membuat laporan berkenaan, terdiri daripada barisan Exco Pemuda Negeri serta wakil Pemuda PBB dari kawasan Kuching dan Samarahan.

Antara Pemuda PBB yang turut hadir, Pemuda dari kawasan Stakan, Samariang, Tupong, Kota Sentosa, Tanjung Datu, Padungan, Gedong, Satok, Tasik Biru dan Muara Tuang.

Beliau berkata, laporan berkenaan merupakan laporan pertama dibuat di peringkat Pemuda Negeri dan tidak menolak kemungkinan laporan susulan dibuat oleh pergerakan Pemuda PBB di kawasan lain di Sarawak.

Mengulas sekiranya isu seumpama itu berulang, Afiq menegaskan Pemuda PBB Sarawak menolak keras sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu keamanan dan keharmonian negeri.

“Kami di pihak Pemuda dengan keras menolak sepenuhnya apa yang berlaku, provokasi seperti ini yang tular seperti ini.

“Kami di pihak Pemuda tidak akan gentar atau takut, sentiasa di belakang Perlembagaan Negara Malaysia.

“Kita sebagai rakyat Sarawak umumnya memang mahukan sesuatu yang adil dan tulus terhadap lambang negeri kita Sarawak iaitu bendera Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abdul Wahab Rahim, turut membuat laporan polis berhubung isu sama bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Gita, Kuching pada 1.49 petang semalam.

Oleh Afiq Sallehi

Ronaldinho kembali buru gol ke-300

RAVENNA, Itali: Bekas bintang bola sepak Brazil, Ronaldinho, yang bersara daripada arena bola sepak pada 2015, mengumumkan kemunculan semula selepas