JBPM Sarawak perkukuh kesiapsiagaan hadapi perubahan iklim, jerebu

Facebook
WhatsApp
PENGARAH JBPM Sarawak, Jamri Masran berucap pada Perhimpunan Bulanan Bulan Ogos 2026 JBPM Sarawak di Kuching, hari ini. Foto JBPM Sarawak

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi kesan perubahan iklim, termasuk cuaca ekstrem, jerebu serta peningkatan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.

Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata, perubahan iklim bukan lagi isu yang jauh daripada masyarakat kerana kesannya semakin dirasai menerusi perubahan pola cuaca, hujan lebat, banjir, ribut serta cuaca panas dan kering.

Menurutnya, keadaan cuaca panas dan kering khususnya di Sarawak yang mempunyai kawasan hutan serta tanah gambut yang luas berpotensi meningkatkan risiko kebakaran vegetasi dan tanah gambut.

“Justeru, saya menggesa semua warga jabatan supaya meningkatkan kesiapsiagaan dan pemantauan, khususnya ketika berlakunya keadaan cuaca ekstrem,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Bulan Ogos 2026 JBPM Sarawak di sini, hari ini.

MAJLIS Perhimpunan Bulanan Bulan Ogos 2026 JBPM Sarawak di Kuching, hari ini. Foto JBPM Sarawak

Pada masa sama, beliau berkata isu jerebu juga perlu diberi perhatian serius kerana bukan sahaja menjejaskan kualiti udara dan kesihatan masyarakat, malah boleh memberi kesan terhadap operasi pasukan bomba.

Katanya, keadaan jerebu boleh menjejaskan jarak penglihatan, pergerakan jentera serta meningkatkan risiko kebakaran terbuka.

“Semua peringkat perlu sentiasa bersedia dan mengambil tindakan awal berdasarkan keadaan semasa. Aspek pencegahan juga perlu diperkasakan melalui pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai bahaya pembakaran terbuka,” katanya.

Jamri turut mengingatkan warga JBPM Sarawak supaya mengambil perhatian terhadap perkembangan krisis di Asia Barat dan kemungkinan kesan domino terhadap dunia termasuk Malaysia.

Beliau berkata, krisis geopolitik boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan, harga bahan api, kos operasi, ekonomi serta kestabilan pasaran antarabangsa.

“Walaupun isu tersebut berlaku jauh dari Sarawak, kita sebagai sebuah organisasi perkhidmatan awam perlu mempunyai kesedaran terhadap perubahan persekitaran strategik dunia,” katanya.

Menurutnya, perkembangan itu turut mengingatkan JBPM mengenai kepentingan kesiapsiagaan, pengurusan sumber, kecekapan penggunaan aset serta keupayaan bertindak dalam situasi yang berubah dengan pantas.

Dalam menentukan hala tuju JBPM Sarawak, Jamri menggariskan lima fokus utama iaitu memperkukuh kesiapsiagaan operasi di semua balai dan zon, meningkatkan kompetensi serta profesionalisme warga kerja melalui latihan berterusan.

Selain itu, jabatan akan memperkasakan penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam pengurusan serta operasi, memperkukuhkan hubungan strategik dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, industri dan komuniti serta meningkatkan usaha pencegahan dan kesedaran awam.

“Saya mahu JBPM Negeri Sarawak terus bergerak sebagai sebuah organisasi yang profesional, berintegriti, responsif, inovatif dan diyakini masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jamri turut merakamkan penghargaan kepada tiga individu awam yang menunjukkan keberanian dan keprihatinan ketika membantu dalam situasi kecemasan.

Beliau memberi penghargaan khusus kepada Razmizul Adha Razali yang membantu menyelamatkan dua mangsa hampir lemas di Sungai Sarawak pada 4 Ogos lalu.

Penghargaan turut diberikan kepada Betoria Pungga dan Suling Nuel Sylvester yang membantu memadam kebakaran sebuah kedai di Unaco Park, Siburan pada 11 Ogos lalu menggunakan alat pemadam api.

Menurut Jamri, tindakan pantas ketiga-tiga individu berkenaan bukan sahaja membantu menyelamatkan nyawa dan mengawal keadaan pada peringkat awal, malah berpotensi mengurangkan risiko kejadian menjadi lebih buruk.

Atas keberanian dan jasa mereka, JBPM Sarawak menganugerahkan Sijil Penghargaan Hero Bomba kepada ketiga-tiga penerima.

Jamri turut menegaskan bahawa keselamatan kebakaran merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan penglibatan aktif masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan pelantikan komuniti sebagai Teman Pili Bomba bagi membantu mengenal pasti serta melaporkan kerosakan atau halangan pada pili bomba di kawasan masing-masing.

Program berkenaan juga berperanan sebagai penghubung antara komuniti dengan JBPM dalam isu keselamatan kebakaran, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan dan penggunaan pili bomba.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada rakan strategik JBPM Sarawak, termasuk Centre for Technology Excellence Sarawak Sdn. Bhd. (CENTEXS) Lundu, Pusat Latihan Penyelamat Kelemasan Sarawak serta Kompleks Sukan dan Belia Negeri Sarawak.

Katanya, kerjasama membabitkan kemudahan, kepakaran, tempat latihan dan sokongan teknikal itu penting dalam memperkukuhkan kompetensi anggota serta tahap kesiapsiagaan JBPM Sarawak.

“Kerjasama ini perlu terus diperkukuhkan dan diperluaskan kerana ia bukan sahaja memberikan manfaat kepada jabatan, malah turut menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat,” katanya.

Oleh Adi Safarman