KUCHING: Sarawak mahu membawa ‘Jiwa Borneo’ ke pentas dunia dengan menjadikan kekayaan alam, kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat sebagai identiti wajah negeri dalam usaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hubungan erat masyarakat dengan alam semula jadi sejak turun-temurun membentuk identiti unik Sarawak yang wajar dikongsi dengan dunia.
Beliau berkata, kira-kira 62 peratus kawasan Sarawak masih diliputi hutan, sekali gus menjadikan alam semula jadi bukan sekadar khazanah yang perlu dipelihara, malah sebahagian daripada kehidupan dan budaya masyarakat.
“Budaya kita sangat berkait dengan alam. Sebab itu dalam banyak tarian kita, kita dapat melihat pergerakan tangan yang hampir sama kerana ia mencerminkan alam, termasuk burung dan hutan.
“Di sinilah kewujudan kita sangat berkait dengan alam semula jadi. Budaya kita sendiri mencerminkan hubungan antara manusia dengan alam,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala ‘Jiwa Borneo’ sempena PATA Travel Mart 2026 di VOCO Hotel Kuching, malam tadi.
Menurutnya, hubungan manusia dengan alam turut membentuk kehidupan masyarakat Sarawak yang terkenal dengan keharmonian antara pelbagai kaum dan kumpulan etnik.
Katanya, konsep keharmonian itu tidak terhad kepada hubungan sesama manusia, sebaliknya turut merangkumi hubungan manusia dengan alam yang menjadi asas kepada pendekatan pembangunan negeri.
“Daripada hubungan ini, kita hidup dalam harmoni. Pelbagai kaum dan kumpulan etnik seolah-olah satu keluarga.
“Bukan sahaja kita hidup harmoni sesama kaum, tetapi kita juga hidup harmoni dengan alam,” katanya.
Abang Johari berkata, pendekatan tersebut kini diterjemahkan dalam dasar sosial dan ekonomi Sarawak, terutama ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim, gelombang haba dan peningkatan pelepasan karbon.
Beliau berkata, Sarawak mengekalkan kedudukannya sebagai negeri ‘negatif karbon’ dan menghasilkan lebih banyak oksigen berbanding karbon, menjadikan kelestarian alam antara kekuatan utama negeri.
“Sebab itulah kita adalah jiwa Borneo. Kita adalah jiwa alam.
“Kita boleh menyumbang kepada kesihatan, bukan sahaja kesihatan landskap semula jadi, tetapi juga kesihatan manusia. Dan perkara itu menjadi tonggak bukan sahaja kepada dasar sosial kita, tetapi juga dasar ekonomi kita,” katanya.
Kekuatan alam dan budaya Sarawak, katanya, turut terserlah melalui pelbagai pengiktirafan UNESCO, termasuk Taman Negara Gunung Mulu sebagai tapak warisan semula jadi, Niah yang mempunyai nilai budaya dan tamadun, Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO serta Kuching Delta Geopark.
“Dengan kata lain, Sarawak mempunyai empat pengiktirafan UNESCO dan ini yang kita mahu kongsikan dengan dunia,” katanya.
Dalam memastikan khazanah tersebut terus terpelihara, Abang Johari berkata Sarawak turut memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui, termasuk hidro, solar dan biojisim.
Katanya, pendekatan sama diterapkan dalam pembangunan sistem pengangkutan awam Autonomous Rapid Transit (ART) di Kuching yang akan menggunakan hidrogen sebagai sumber tenaga.
“Kita antara yang pertama di rantau ini menggunakan hidrogen sebagai sebahagian daripada sumber tenaga untuk menggerakkan ART, pengangkutan awam kita sendiri,” katanya.
Dalam usaha membawa ‘Jiwa Borneo’ lebih dekat kepada masyarakat antarabangsa, Abang Johari berkata Sarawak juga memperkukuh kesalinghubungan udara menerusi AirBorneo.
Beliau berkata, syarikat penerbangan itu akan dibangunkan secara berperingkat dengan tumpuan menghubungkan Sarawak ke destinasi penting di Asia, termasuk potensi hubungan dengan Korea Selatan menerusi Pulau Jeju.
Katanya, hubungan itu amat bermakna memandangkan Sarawak dan Pulau Jeju masing-masing mempunyai status Geopark UNESCO, sekali gus berpotensi membuka ruang kerjasama baharu dalam sektor pelancongan.
“Kita berharap dengan kesalinghubungan ini dan pelbagai kemudahan yang sedang kita naik taraf, kita dapat menghubungkan semua orang, berkongsi apa yang ada di Borneo dan marilah kita berkongsi jiwa Borneo,” katanya.
PATA Travel Mart 2026 yang berlangsung sebelum ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 18 hingga 20 Ogos mencatat sejarah sebagai penganjuran sulung acara berkenaan di Sarawak, sekali gus membuka ruang lebih luas bagi negeri itu memperkenalkan tarikan dan produk pelancongan kepada pasaran antarabangsa.
Acara perdagangan pelancongan B2B utama Asia Pasifik itu menghimpunkan lebih 1,100 delegasi dari 48 negara dan destinasi, termasuk 221 pembeli daripada 215 syarikat dari 29 pasaran sumber serta lebih 365 penjual daripada lebih 200 organisasi dan destinasi.
Platform itu turut membuka peluang kepada pemain industri tempatan memperluas pasaran, membina jaringan baharu dan membawa lebih ramai pelawat mengenali keunikan serta ‘Jiwa Borneo’ Sarawak kepada lebih ramai pelawat antarabangsa.
Oleh Afiq Sallehi




