Pesuruhjaya Polis Sarawak perkukuh hubungan dengan warga polis di Lundu

Facebook
WhatsApp
PESURUHJAYA Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu sempena lawatan kerja belia ke daerah itu, hari ini.

LUNDU: Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu hari ini bagi menyampaikan amanat kepimpinan serta memperkukuh hubungan dengan warga polis, pesara dan balu pesara.

Ketua Polis Daerah Lundu, Supt Sudirman Kram, berkata lawatan itu turut disusuli acara Guard Turn Out (GTO), persembahan tarian tradisional kaum Salako, sesi menandatangani buku pelawat serta taklimat yang disampaikan olehnya.

Beliau berkata dalam amanatnya, Mohamad Zainal menekankan kepentingan memperkukuh esprit de corps, meningkatkan kompetensi dan profesionalisme warga polis serta mempererat kerjasama dengan komuniti melalui pendekatan Kepolisan Berteraskan Komuniti.

PESURUHJAYA Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, memberikan taklimat kepada warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu sempena lawatan kerja beliau ke daerah itu, hari ini.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara,” katanya.

Sudirman berkata Mohamad Zainal turut menyerahkan bantuan bakul makanan kepada pesara polis dan balu pesara sebagai sebahagian daripada inisiatif Kelab Polis IPD Lundu untuk menyantuni golongan berkenaan serta mengeratkan silaturahim.

Menurutnya, lawatan itu mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan Polis Sarawak dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepolisan yang berintegriti, profesional dan berkesan.

Oleh Connie Chieng