Jerebu ubah format Sambutan Maulidur Rasul Sarawak, perarakan ditiadakan

Facebook
WhatsApp
SIDANG media Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1448H/2026M di Tingkat 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.

SARIKEI: Faktor jerebu mendorong perubahan format Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak dengan meniadakan perarakan dan memindahkan majlis perhimpunan dari Kompleks Sukan Sarikei ke Dewan Sentral Sarikei.

Pengerusi Penyelaras Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1448H/2026M, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata keputusan itu dibuat bagi mengelakkan risiko kepada peserta berikutan keadaan jerebu yang masih melanda.

“Seperti sedia maklum, sejak seminggu lalu, kebanyakan tempat di Sarawak mengalami jerebu. Kebanyakan tempat termasuk di Sarikei, seperti yang telah dilaporkan, Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.

“Kita tidak mahu mengambil risiko. Pada kali ini, Majlis Sambutan Maulidur Rasul, khususnya majlis perhimpunan dan perarakan, kita membuat sedikit perubahan. Kita hanya mengadakan majlis perhimpunan. Lokasi ditukar daripada Kompleks Sukan Sarikei kepada Dewan Sentral Sarikei,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), berkata bandar Sarikei dipilih sebagai pusat Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1448H/2026M yang bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’, sama seperti tahun lalu.

Katanya, sambutan tersebut merupakan antara perayaan Islam dan acara rasmi Kerajaan Sarawak yang dilaksanakan setiap tahun bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW serta menghayati perjuangan dan teladan Baginda.

“Antara objektifnya adalah untuk mengingati kembali peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai uswah hasanah, iaitu contoh teladan kepada semua umat Islam.

“Mengkaji dan meneliti sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan ajaran Islam untuk dihayati dan dicontohi oleh umat Islam masa kini.

“Menyemarakkan kasih sayang umat Islam terhadap insan mulia ini sebagai landasan untuk memperkukuhkan perpaduan dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dua acara utama akan berlangsung sepanjang sambutan itu, dimulakan dengan Majlis Kesyukuran Maulidur Rasul dan Zikir Maulid pada 24 Ogos di Masjid Al-Muttaqin Bahagian Sarikei.

“Untuk acara pertama, iaitu Majlis Kesyukuran Maulidur Rasul dan Zikir Maulid yang akan diadakan di Masjid Al-Muttaqin Bahagian Sarikei, akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Tambahnya, selepas azan Maghrib dan solat fardu Maghrib berjemaah, Ceramah Khas Maulidur Rasul akan disampaikan oleh Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Khalidi Ibrahim, sebelum diteruskan dengan zikir marhaban.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan azan Isyak, solat fardu Isyak berjemaah dan jamuan makan malam.

Acara kedua pula ialah Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul pada 25 Ogos di Dewan Sentral Sarikei, dengan ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama isteri dijadualkan pada 9 pagi, didahului ketibaan Premier Sarawak 10 minit lebih awal.

“Sejurus ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, majlis akan dimulakan dengan nyanyian lagu Ibu Pertiwiku dan persembahan nasyid, diikuti bacaan doa oleh Sahibus Fadillah Imam Besar Sarawak serta ucapan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Selepas itu, majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku.

“Ini merupakan dua acara utama sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1448H/2026M,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, sambutan tersebut pada asalnya menerima penyertaan 125 kontinjen yang membabitkan 6,219 peserta.

Bagaimanapun, jumlah peserta perlu diselaraskan berikutan pertukaran lokasi ke Dewan Sentral Sarikei yang mempunyai kapasiti lebih kecil.

“Dari segi penyertaan, pihak kita telah menerima sebanyak 125 kontinjen dengan penyertaan seramai 6,219 peserta. Namun demikian, kita dimaklumkan bahawa Dewan Sentral Sarikei hanya mampu memuatkan antara 2,500 hingga 3,000 orang. Maka, bilangan peserta akan dikurangkan kepada antara 2,500 hingga 3,000 orang, selaras dengan kapasiti dewan,” katanya.

Ia turut melibatkan 10 kategori penyertaan, iaitu Badan Beruniform; Jabatan Kerajaan (Negeri/Persekutuan); Badan Berkanun; Badan Swasta; Masjid/Surau; JKKK/Persatuan/Kelab/Pertubuhan; IPTA/IPTS/Pusat Kemahiran; Kumpulan Hadrah; Sekolah Menengah; dan Sekolah Rendah (Tahun 4 hingga 6).

Bagi setiap kategori, johan akan menerima hadiah RM7,000, naib johan RM5,000, tempat ketiga RM3,000, tempat keempat RM1,000 dan tempat kelima RM500, manakala saguhati khas sebanyak RM500 turut disediakan.

Selain itu, Anugerah Kontinjen Teramai menawarkan hadiah RM1,000.

Pemenang bagi kedudukan johan hingga tempat ketiga turut menerima piala, cek replika dan sijil, manakala penerima tempat keempat, tempat kelima, saguhati khas serta Anugerah Kontinjen Teramai menerima cek replika dan sijil.

Oleh Earl Anek