KANOWIT: Tumpahan merkuri melibatkan satu unit termometer yang terjatuh dan pecah dalam sebuah almari di Bilik Makmal Sains Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Kemiding, di sini, berjaya dikawal bomba pagi ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Zon Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.42 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit bersama empat anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di sekolah berkenaan yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai pada 8.55 pagi dan mendapati tumpahan merkuri berpunca daripada sebuah termometer yang terjatuh dan pecah dalam almari di makmal sains.

“Ketua operasi membuat penilaian awal sebelum mengarahkan anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap bagi menjalankan kerja-kerja pengendalian bahan berbahaya.
“Pasukan kemudian menabur serbuk sulfur di dalam almari dan atas lantai bagi mengesan serta membersihkan kawasan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi turut melibatkan kerja-kerja nyahcemar bahan berbahaya (hazardous materials decontamination) selepas tumpahan berjaya dikendalikan.
Keadaan di lokasi disahkan selamat dan operasi dikawal pada 9.30 pagi sebelum ditamatkan pada 9.45 pagi.
Oleh Akun Giman




