SIBU: Sebanyak 296 kenderaan diperiksa dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Kenderaan Mewah yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu di sekitar bandar ini, semalam.
JPJ Sarawak dalam kenyataan berkata, operasi secara rondaan itu mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk memandu tanpa lesen, lesen memandu tamat tempoh dan tidak memakai tali pinggang keledar.
Selain itu, beberapa kesalahan berkaitan aspek teknikal kenderaan turut dikesan sepanjang operasi tersebut.

Dalam operasi sama, sebuah kereta disita selepas didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insuransnya telah tamat tempoh.
Menurut JPJ Sarawak, tindakan terhadap semua kesalahan yang dikesan, termasuk penyitaan kenderaan, dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
JPJ Sarawak menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya.
Langkah itu juga untuk memastikan aspek keselamatan pengguna jalan raya terus diberi keutamaan.





