JPJ Sarawak perkukuh jati diri, kesedaran bahaya dadah

Facebook
WhatsApp
BENGKEL Pengukuhan Jati Diri Bahagian Penguatkuasa JPJ Sarawak Tahun 2026 yang turut melibatkan ceramah berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah dan ujian saringan air kencing, hari ini. Foto JPJ.

KUCHING: Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menganjurkan Bengkel Pengukuhan Jati Diri Bahagian Penguatkuasa JPJ Sarawak Tahun 2026 bagi memperkukuh jati diri, integriti serta kesedaran warga kerja terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.

Bengkel berkenaan turut mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuching dengan penyertaan tujuh pegawai yang diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan, Mohamed Izuan Abdul Rahman.

Beliau turut menyampaikan ceramah bertajuk ‘Trend Penyalahgunaan Dadah’ yang memberi pendedahan mengenai perkembangan semasa penyalahgunaan dadah serta kesannya terhadap individu, keluarga, organisasi dan masyarakat.

BENGKEL PENGUKUHAN JATI DIRI... Pegawai dan anggota JPJ Sarawak menyertai Bengkel Pengukuhan Jati Diri Bahagian Penguatkuasa JPJ Sarawak Tahun 2026 bagi meningkatkan kesedaran terhadap integriti serta bahaya penyalahgunaan dadah.

Sebagai sebahagian daripada pengisian bengkel, ujian saringan air kencing turut dijalankan melibatkan 70 pegawai dan anggota JPJ Sarawak serta enam pekerja pembersihan dan landskap pejabat.

Pelaksanaan saringan itu merupakan antara langkah pencegahan bagi meningkatkan kesedaran warga kerja terhadap kepentingan menjauhi penyalahgunaan dadah, selain memastikan persekitaran tempat kerja kekal sihat, selamat dan berintegriti.

SARINGAN AIR KENCING... Pegawai dan anggota JPJ Sarawak menjalani ujian saringan air kencing sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan penyalahgunaan dadah di tempat kerja.

JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada AADK Kuching atas kerjasama serta perkongsian ilmu sepanjang pelaksanaan bengkel berkenaan.

Turut hadir menyaksikan pelaksanaan bengkel, Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Sarawak, Puan Fifi Suhesty Asmuni serta Ketua Seksyen Operasi JPJ Sarawak, Saifullah Ali.