Violet Yong gesa kerajaan Sarawak mudahkan proses pengambilan kad pekerja asing SANSOLS

Facebook
WhatsApp
ADUN Pending Violet Yong

KUCHING: ADUN Pending Violet Yong menggesa Kerajaan Sarawak campur tangan berhubung aduan majikan bahawa Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (Foreign Worker Transformation Approach, FWTA) dan sistem SANSOLS bukan sahaja gagal memudahkan pengurusan pekerja asing, malah menambah birokrasi, kesulitan serta beban kewangan.

Yong berkata, majikan perlu membayar RM324 bagi setiap kad pengenalan FWTA kepada SANSOLS, namun masih diwajibkan membawa sendiri pekerja asing ke pejabat SANSOLS di Kuching untuk pengesahan biometrik dan mengambil kad tersebut.

Katanya, syarat itu tidak munasabah, khususnya bagi majikan di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti Lawas, Baleh dan Kapit yang perlu mengambil masa berjam-jam malah mungkin berhari-hari untuk ke Kuching.

“Siapa yang akan menanggung kos pengangkutan, penginapan dan perbelanjaan lain? Siapa pula yang akan menggantikan kerugian akibat kehilangan waktu bekerja dan produktiviti majikan?” soalnya.

Yong berkata, terdapat juga majikan yang dilaporkan diberitahu bahawa pekerja asing mereka tidak layak memperbaharui permit kerja sekiranya kad fizikal FWTA belum diambil.

“Jika benar itu pendirian SANSOLS, persoalannya ialah mengapa majikan diwajibkan melalui proses tambahan mengambil kad secara fizikal sebelum permit kerja pekerja mereka boleh diperbaharui?” katanya.

Beliau berkata keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada sistem tersebut benar-benar bertujuan menambah baik pengurusan pekerja asing atau sekadar mewujudkan satu lagi halangan pentadbiran kepada majikan.

Yong turut mengingatkan bahawa dalam sesi dialog FWTA sebelum ini, SANSOLS memberi jaminan bahawa kad akan dihantar ke tempat kerja bagi majikan yang mempunyai lebih 50 pekerja asing..

“Namun hari ini, janji tersebut seolah-olah sudah dilupakan,” katanya.

Beliau turut meminta SANSOLS dan kerajaan Sarawak menjelaskan status pejabat SANSOLS yang dirancang di Sibu dan Bintulu, termasuk mengapa kedua-duanya masih belum beroperasi sehingga kini dan sama ada rancangan tersebut telah dibatalkan.

Yong berkata majikan yang membayar RM324 bagi setiap kad berhak mengharapkan perkhidmatan yang baik, mudah diakses dan munasabah sebagai balasan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pekerja asing perlu datang ke Kuching untuk mendapatkan kad FWTA sedangkan Jabatan Imigresen tidak mewajibkan pekerja asing hadir ke pejabatnya semata-mata bagi urusan pengeluaran permit kerja.

Yong menggesa kerajaan Sarawak menjelaskan sama ada kad fizikal FWTA benar-benar diperlukan untuk pembaharuan permit kerja.

“Jika ia diperlukan, SANSOLS mesti menjelaskan asas undang-undang dan pentadbiran yang menjadikan pengambilan kad secara fizikal sebagai syarat pembaharuan permit. Jika tidak, majikan tidak sepatutnya dikenakan tekanan yang tidak perlu,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan Sarawak mengarahkan SANSOLS supaya menunaikan komitmen yang dibuat dalam sesi rundingan sebelum ini, termasuk membenarkan majikan memberi kuasa kepada wakil untuk mengambil kad serta menyediakan penghantaran kad ke tempat kerja, khususnya bagi majikan yang mempunyai lebih 50 pekerja asing dan mereka yang beroperasi di kawasan luar bandar serta pedalaman.

“FWTA sepatutnya memudahkan sistem dan mengurangkan beban majikan. Ia tidak seharusnya menjadi sistem yang menyebabkan majikan membayar lebih, pekerja menghadapi lebih banyak kesulitan, perniagaan kehilangan waktu kerja yang berharga, manakala sebuah syarikat swasta menikmati hasil yang terjamin tanpa menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang setimpal,” katanya.

Oleh Connie Chieng