LAWAS: Penduduk di bahagian utara Sarawak dan seluruh negeri ini dinasihatkan supaya berwaspada susulan cuaca panas berpanjangan dan tidak menentu yang sedang melanda ketika ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, masyarakat turut dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Menurutnya, kerajaan akan terus berusaha mengurangkan kesan fenomena El Nino yang sedang melanda Sarawak.
“Kita berdepan cuaca yang begitu panas disebabkan kesan El Nino yang dijangka berpanjangan.
“Saya menasihatkan masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan kita semua perlu berwaspada.

“Kesan El Nino turut dirasai dari segi bekalan air, termasuk menjejaskan operasi loji rawatan air di Trusan,” katanya ketika ditemui media di Pusat Khidmat Merapok di sini, petang semalam.
Beliau yang sebelum itu melakukan lawatan ke beberapa kawasan di Ulu Merapok berkata, kerajaan sentiasa peka terhadap keadaan semasa dan telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan kesan cuaca panas terhadap rakyat.
Katanya, keadaan paras air sungai yang surut serta mendapan pasir di loji bekalan air turut diberi perhatian serius.
“Bagi Daerah Lawas, pihak bertanggungjawab telah mengambil langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani isu gangguan bekalan air sepanjang musim panas ini,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Pengarah Agensi Pembangunan Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Latip; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.
Oleh Adeng Edrus





