PKS Sarawak perlu berani tembusi pasaran global

Facebook
WhatsApp
PANTAU PROJEK...Awang Tengah kelihatan meminta pihak pemaju memperkemaskan binaan di kawasan belakang Anjung Usahawan Kampung Noor Islam Kuala Lawas.

LAWAS: Pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak perlu berani mengambil peluang untuk menembusi pasaran global yang lebih luas.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai inisiatif dan bantuan bagi membantu pengusaha PKS mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

Menurutnya, kemudahan pejabat pelancongan dan perdagangan yang diwujudkan di beberapa negara ASEAN perlu dimanfaatkan pengusaha tempatan untuk menerokai pasaran baharu.

“Kemudahan untuk meningkatkan kemahiran kita sudah ada di Lawas melalui CENTEXS yang boleh dimanfaatkan dari segi teknologi baharu.

RUANG NIAGA…Kelihatan penduduk kampung melihat sendiri keadaan ruang niaga disalah satu gerai makan di Anjung Usahawan Kampung Noor Islam.

“Kerajaan juga menyediakan pelbagai pakej bantuan daripada kementerian berkaitan, termasuk dari segi kewangan dan kemahiran untuk memasarkan produk secara dalam talian dan digital.

“Lebih-lebih lagi kita di Lawas dan Limbang yang berdekatan dengan Brunei. Kita mempunyai pejabat Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Negeri di Brunei (STATOB). Ini adalah satu kemudahan dan kita boleh menghubungkan segala perkhidmatan serta produk untuk dipromosikan.

“Kita juga mempunyai pejabat yang sama di Singapura. Kemudahan ini membolehkan kita meneroka pasaran yang lebih luas,” katanya.

Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Anjung Usahawan Kampung Noor Islam di sini, petang semalam.

Turut mengiringi beliau Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Pengarah Agensi Pembangunan Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Latip; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.

Dalam pada itu, Awang Tengah mahu Anjung Usahawan Kampung Noor Islam disiapkan lebih awal pada September depan, berbanding jadual asal pada Oktober tahun ini.

Anjung Usahawan berkenaan dilengkapi ruang niaga, ruang pemprosesan makanan, kedai runcit dan gerai makanan

Oleh Adeng Edrus