KUCHING: Korea Selatan kini berada dalam radar Sarawak sebagai antara destinasi baharu yang berpotensi diwujudkan melalui penerbangan terus AirBorneo dari Kuching, khususnya ke Pulau Jeju.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penerbangan terus Kuching Jeju berpotensi membuka lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, terutama berdasarkan tarikan kedua-dua destinasi sebagai Geopark Dunia UNESCO (UGGp).
Menurutnya, Pulau Jeju sudah menerima pengiktirafan berkenaan, manakala Kuching dijangka mendapat pengiktirafan sama tahun depan.
“Jadi, Korea sememangnya berada dalam radar kita untuk hubungan penerbangan terus dan kita berharap AirBorneo dapat merealisasikannya dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Pengetahuan PATA Travel Mart (PTM) 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, cadangan penerbangan ke Korea Selatan turut mengambil kira minat tinggi rakyat Sarawak untuk berkunjung ke negara berkenaan, selain potensinya sebagai pasaran pelancongan.
Katanya, Korea Selatan mempunyai pencapaian mengagumkan dalam pelbagai bidang termasuk muzik, teknologi, automotif dan sukan, sekali gus menjadikannya antara pasaran yang menarik untuk diterokai.
Dalam pada itu, beliau berkata Bangkok turut menjadi antara destinasi yang sedang dipertimbangkan AirBorneo selepas penerbangan terus ke Jakarta direalisasikan bulan depan.
“Jakarta akan menjadi destinasi seterusnya pada bulan hadapan tetapi selepas itu mungkin Bangkok atau Pulau Jeju,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Morshidi Fredrick; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Board, Dr Sharzede Salleh Datu Salleh Askor; Pengerusi PATA, Henry Oh serta Ketua Pegawai Eksekutif PATA, Noor Ahmad Hamid.
Oleh Shikin Mahmud





