DUN: Projek KUTS ketinggalan empat peratus daripada sasaran kemajuan

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Lee Kim Shin ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pengangkutan Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 19 Oktober: Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa Pertama mencatatkan kemajuan fizikal 49 peratus setakat September 2026, iaitu empat peratus di bawah sasaran 53 peratus yang ditetapkan bagi tempoh sama.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, meskipun pelaksanaan projek itu masih berjalan, operasi percubaan Transit Aliran Autonomi (ART) tetap disasarkan bermula menjelang penghujung tahun ini.

Operasi percubaan itu akan dijalankan di Laluan Biru Fasa 1 yang menghubungkan Rembus ke Northbank, dengan jajaran berkenaan merekodkan kemajuan fizikal 88 peratus berbanding sasaran 97 peratus.

“Dua unit ART pertama sudah tiba di Kuching, manakala dua unit lagi dijangka tiba menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Menurut Lee, tempoh percubaan itu akan digunakan oleh kontraktor dan pengendali untuk menilai prestasi sistem, keselamatan serta kesiapsiagaan operasi sebelum perkhidmatan komersial dimulakan.

Sebarang kekurangan yang dikenal pasti sepanjang tempoh berkenaan akan ditangani bagi memastikan sistem memenuhi keperluan operasi dan keselamatan.

Projek KUTS bermula pada November 2022 dengan Depoh Rembus sebagai komponen pertama pembangunan rangkaian pengangkutan awam bersepadu di Kuching.

Sistem itu merangkumi Laluan Biru, Laluan Merah dan Laluan Hijau, dengan sokongan Loji Hidrogen Rembus bagi menyediakan pilihan pengangkutan lebih mampan kepada penduduk bandar.

Lee berkata, pembinaan Laluan Biru dan Laluan Merah sedang berjalan, manakala kerja pembinaan Laluan Hijau dijangka bermula pada suku pertama 2027.

Apabila beroperasi kelak, KUTS dirancang membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pelepasan karbon, selain mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap kenderaan persendirian.

Perkembangan projek itu akan terus dipantau bagi memastikan pelaksanaan rangkaian pengangkutan berkenaan dapat diteruskan mengikut perancangan.

Oleh Shahrul Qaizat