PETRA JAYA, 19 Oktober: Seramai 43,533 rakyat Sarawak mendapat manfaat Program Bantuan Lesen Memandu (BLM/MyLesen) Kelas B2 sejak diperkenalkan pada 2024, dengan peserta hanya perlu membayar RM250 berbanding kos biasa RM750.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kementeriannya serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen bagi membantu meringankan beban kewangan rakyat.
“Inisiatif ini membantu golongan yang layak mendapatkan lesen motosikal pada kos lebih rendah, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk memiliki lesen memandu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Bagi 2026, sebanyak 29 program disasarkan untuk dilaksanakan di sembilan bahagian, iaitu Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Lee berkata, 15 program telah selesai dilaksanakan setakat ini, manakala selebihnya masih berjalan dan dijangka diselesaikan menjelang Disember tahun ini.
Khusus bagi kawasan Parlimen Kota Samarahan, program berkenaan dijangka selesai pada November 2026.
Menurutnya, program itu terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang belum memiliki lesen memandu dan memenuhi syarat kelayakan.
Bagaimanapun, peserta tetap perlu menjalani latihan serta penilaian yang ditetapkan JPJ bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran menunggang yang baik dan mengutamakan keselamatan jalan raya.
“Orang ramai yang berminat boleh mengemukakan permohonan menerusi ADUN atau Ahli Parlimen di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berharap kerjasama antara JPJ, kementeriannya dan wakil rakyat dapat diteruskan bagi memperluas manfaat program itu kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan bantuan mendapatkan lesen motosikal pada kadar berpatutan.
Oleh Shahrul Qaizat




