KUCHING: Empat pasukan mara ke peringkat separuh akhir Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (Premier of Sarawak Debate Challenge Cup/PSDC) 2026 selepas melepasi saingan suku akhir yang berlangsung hari ini.
Pasukan terbabit ialah Pasukan 1 dan Pasukan 2 dari Universiti Swinburne Malaysia, Pasukan A dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak serta Pasukan AHM dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Pada peringkat separuh akhir, Pasukan A UiTM Cawangan Sarawak akan berdepan Pasukan AHM Unimas, manakala Pasukan 1 Swinburne Malaysia akan bertemu Pasukan 2 Swinburne Malaysia bagi menentukan dua pasukan yang akan mara ke pentas akhir.
Keempat-empat pasukan akan membahaskan usul “Akses kepada tenaga boleh diperbaharui Sarawak oleh industri berintensif tenaga seperti Press Metal hendaklah disyaratkan kepada usaha mewujudkan nilai ekonomi yang lebih besar kepada Sarawak.”
Saingan separuh akhir dijangka berlangsung sengit apabila setiap pasukan perlu mengemukakan penghujahan dan strategi terbaik bagi memastikan mereka mara ke peringkat akhir.
Perlawanan akhir PSDC 2026 dijadualkan berlangsung malam ini dari 7.00 malam hingga 11.00 malam di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan.
Peringkat akhir itu bakal menyaksikan dua pasukan terbaik bersaing bagi merebut Piala Premier Sarawak, sekali gus mencatat sejarah sebagai juara sulung PSDC 2026.
Oleh Shikin Mahmud





