KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake yang bakal dilengkapi bangunan serta kemudahan baharu dijangka menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa kepada 1,303 pelajar, 94 guru dan 12 Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) apabila projek berkenaan siap sepenuhnya pada November 2026.
Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol, berkata perkembangan itu amat bermakna buat warga sekolah berkenaan yang telah memberi khidmat pendidikan kepada masyarakat Bau selama hampir 58 tahun.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, SMK Lake kini sedang berpindah ke bangunan baharu secara berperingkat selepas projek pembinaan berkenaan bermula pada 17 Januari 2023.
“Saya amat teruja melihat perkembangan terkini SMK Lake. Ini merupakan perkembangan yang sangat bermakna untuk warga Lakers yang akhirnya bakal menikmati ruang pembelajaran yang lebih selesa serta kemudahan lebih lengkap selepas memberi khidmat pendidikan kepada generasi demi generasi,” katanya.
Menurutnya, projek berkenaan merangkumi pelbagai kemudahan moden bagi menyokong operasi 47 kelas di sekolah yang ditubuhkan pada 4 Disember 1968 itu.

Mordi berkata, projek berkenaan termasuk pelaksanaan Fasa Dua dan dijangka siap sepenuhnya pada November 2026.
“Saya berharap kemudahan baharu ini dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif untuk anak-anak kita serta membantu para guru melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, sekolah bukan sekadar tempat untuk menimba ilmu, tetapi turut menjadi ruang bagi murid membina persahabatan, mengembangkan bakat, menyertai pelbagai aktiviti dan membentuk keyakinan diri.
Mordi turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan dan komitmen dalam menjayakan projek berkenaan.
Beliau turut menghargai pihak sekolah, guru, AKP dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas kesabaran, kerjasama serta sokongan yang diberikan sepanjang proses pembinaan dan perpindahan.
“Kepada anak-anak Lakers, jaga sekolah ini baik-baik, gunakan semua kemudahan yang ada dan jadikan ia tempat untuk mencipta lebih banyak kenangan serta kejayaan.
“Saya percaya yang terbaik masih di hadapan,” katanya.
Oleh Connie Chieng





