SERIAN: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah hostel di Serian.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar 6.45 petang, semalam.
Menurutnya, hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30an di sekitar Serian yang dipercayai bekerja di premis sama dengan mangsa.
“Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20an yang merupakan kenalan rapat mangsa bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi suspek warga Indonesia, polis turut menjalankan semakan berkaitan status serta rekod pergerakan imigresen dan akan membuat pemakluman kepada pihak berkuasa berkaitan mengikut keperluan.
Freddy berkata, pihaknya memandang serius kesalahan jenayah seksual, khususnya yang melibatkan golongan bawah umur.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat, gambar atau identiti mangsa yang boleh menyebabkan mangsa dikenal pasti serta menjejaskan privasi dan keselamatan mangsa,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud





