PACA DUN Kabong siap siaga laksana tugas hadapi PRN13

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir ketika menghadiri Program Taklimat Persediaan serta Peranan PACA bagi menghadapi PRN13 yang berlangsung semalam. Foto: ADUN Kabong

KABONG, 5 Oktober: Petugas Ejen Mengundi dan Ejen Mengira (PACA) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong diberi pendedahan menyeluruh berkaitan prosedur pilihan raya dan tanggungjawab masing-masing sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, pemahaman yang jelas mengenai prosedur pilihan raya amat penting bagi memastikan setiap petugas PACA dapat melaksanakan amanah dengan teratur dan mengikut peraturan ditetapkan.

Menurutnya, PACA mempunyai peranan penting dalam memantau proses pengundian dan pengiraan undi di setiap saluran serta memastikan segala prosedur berkaitan dilaksanakan dengan sewajarnya.

“Setiap PACA perlu memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing serta sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi yang mungkin berlaku sepanjang proses pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Taklimat Persediaan serta Peranan PACA bagi menghadapi PRN13 yang berlangsung di sini semalam.

Chee Kadir berkata, persediaan awal menerusi latihan dan taklimat dapat membantu petugas memahami tindakan yang perlu diambil, terutama ketika proses pengundian dan pengiraan undi.

Katanya, aspek ketelitian turut perlu diberi perhatian, khususnya ketika proses pengiraan undi bagi memastikan semua prosedur dilaksanakan dengan betul serta mematuhi peraturan pilihan raya.

“Petugas PACA perlu menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab, telus dan berdisiplin. Kita mahu semua petugas benar-benar bersedia apabila tiba masa untuk melaksanakan tugas di lapangan,” katanya.

Program berkenaan turut memberi penerangan mengenai peranan dan tanggungjawab Ejen Mengundi serta Ejen Mengira, termasuk perkara penting yang perlu diberi perhatian sepanjang proses pengundian dan pengiraan undi.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada persediaan jentera DUN Kabong menghadapi PRN13, khususnya dalam meningkatkan kefahaman dan kemahiran petugas PACA.

Dengan persediaan awal tersebut, para petugas PACA diharap dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara teratur, profesional dan berdisiplin bagi menyokong kelancaran proses pilihan raya.

Oleh Adi Safarman