PUTRAJAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) selesai menjalankan saringan dadah mandatori terhadap semua juruterbang Malaysia Airlines yang masih bertugas, dan semua didapati negatif.
Menurut kenyataan MAG, saringan itu selesai pada 15 Ogos lepas, mengikut tempoh yang ditetapkan di bawah langkah untuk memperkukuh aspek keselamatan dan kecergasan dalam keseluruhan operasi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata kejayaan menyelesaikan fasa pertama itu satu pencapaian penting, namun saringan akan diteruskan melibatkan kumpulan operasi lain.
” … Namun, usaha itu tidak terhenti di sini. Kami akan meneruskan saringan melibatkan kumpulan operasi yang lain bagi memastikan piawaian ketat diterapkan secara konsisten di semua syarikat penerbangan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata MAG juga memperkukuh langkah perlindungan serta mengekalkan piawaian operasi dan keyakinan penumpang serta pihak berkepentingan.
Nasaruddin berkata selepas ini MAG akan memulakan saringan terhadap kira-kira 2,840 kru kabin mulai 18 Ogos dan dijangka selesai pada 3 Sept.
Beliau berkata saringan turut sedang dijalankan terhadap juruterbang dan kru kabin syarikat penerbangan, Firefly.
“Setakat 15 Ogos, Firefly telah menjalankan saringan terhadap lebih separuh daripada 158 juruterbang dan 163 anggota kru kabin, dengan semua keputusan setakat ini menunjukkan keputusan negatif.
“Firefly kini pada peringkat untuk menyelesaikan saringan terhadap semua baki juruterbang dan kru kabin menjelang 25 Ogos, lebih awal berbanding tarikh akhir 5 Sept, yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.
Nasaruddin berkata MAG turut akan meneruskan ujian secara rawan dan berterusan, yang dikendalikan oleh pasukan Keselamatan dan Kesihatan sebagai sebahagian daripada usaha mencegah dan membanteras penyalahgunaan bahan terlarang.
Beliau berkata langkah-langkah itu melengkapi rangka kerja sedia ada berkaitan kecergasan, termasuk saringan sebelum pengambilan pekerja, pengesahan perubatan, latihan berkala, ujian alkohol dan dadah secara berkala, pemeriksaan pematuhan wajib sebelum penerbangan serta penilaian kecergasan kru. – Bernama





