Dua remaja ditahan kerana aksi ‘wheelie’ dalam Op Samseng Jalanan

Facebook
WhatsApp
SUSPEK yang ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu

KUCHING: Dua remaja lelaki tempatan berusia 16 dan 17 tahun ditahan selepas disyaki melakukan aksi wheelie berbahaya dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata operasi itu dijalankan dari 11.00 malam 15 Ogos hingga 3.00 pagi semalam di beberapa lokasi tumpuan sekitar Petra Jaya, termasuk Jalan Astana, Jalan Tun Abdul Rahman Yakob, Jalan Tun Salahuddin, Jalan Gersik dan Masja.

Katanya, kedua-dua remaja itu masing-masing merupakan penunggang dan pembonceng sebuah motosikal dan ditahan kerana disyaki melakukan aksi ‘wheelie’ yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Alexson berkata dua motosikal turut disita di bawah Seksyen 60 akta sama selepas didapati telah diubah suai daripada struktur asal.

Sepanjang operasi, seramai 35 individu dan 30 motosikal diperiksa, manakala 24 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta tidak terlibat dalam sebarang aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan nyawa.

Oleh Connie Chieng