SHAH ALAM: Skuad taekwondo Sarawak menutup tirai saingan Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 dengan gemilang apabila AJ Ong Yang Yi menghadiahkan pingat emas keempat selepas menjuarai kategori lelaki lebih 87 kilogram (kg) di Pusat Konvensyen Ideal(IDCC), di sini hari ini.
Turun pada aksi final, AJ Ong Yang Yi menampilkan persembahan meyakinkan untuk menewaskan wakil Johor, Dushendran Kumar Suresh Kumar, dengan keputusan 2-0, sekali gus mengesahkan emas terakhir Sarawak dalam acara taekwondo.
Kemenangan itu hadir selepas beliau terlebih dahulu menundukkan wakil Melaka pada peringkat suku akhir sebelum meneruskan langkah dengan mengatasi wakil Brunei Darussalam, Mohd Alwi Naqiuddin Mohamad Nordi, 2-0 di separuh akhir.


Kejayaan AJ Ong melengkapkan koleksi empat emas skuad taekwondo Sarawak pada temasya kali ini, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan.
Pencapaian itu meneruskan kecemerlangan skuad berkenaan yang sebelum ini turut menyumbang emas menerusi beberapa atlet lain, termasuk Alexandre Axcell Juntan dan Mohamad Zulhafiz Zulhadi, selain Pretty Amisha Amanda yang menjadi antara sandaran utama Sarawak dalam acara kyorugi.
Presiden Persatuan Taekwondo Sarawak, Azizul Annuar Adenan, sebelum ini menyifatkan pencapaian skuad berkenaan sebagai sesuatu yang membanggakan selepas mereka berjaya mengatasi sasaran awal tiga pingat emas yang dilaporkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Sarawak Sports Corporation (SSC).
“Alhamdulillah, saya rasa amat bangga dengan pencapaian skuad Taekwondo Sarawak pada kali ini, di mana kita telah mendapat empat pingat emas, iaitu lebih satu daripada apa yang kita sasarkan.
“Sebenarnya dua, bonus sigek, tetapi dapat empat. Alhamdulillah dan insya-Allah semoga dapat menambahkan bilangan emas negeri Sarawak,” katanya.

Menurut Azizul, kejayaan taekwondo yang menjadi penyumbang pingat emas pertama Sarawak pada kempen kali ini diharap mampu menjadi pencetus semangat kepada atlet daripada sukan lain untuk terus beraksi cemerlang dan membantu kontinjen negeri memburu kedudukan terbaik keseluruhan.
Selain emas, Sarawak turut meraih satu perak dan dua gangsa. Dengan kejayaan kontijen taekwando hari ini, Sarawak kini menduduki tempat ke lima dengan enam emas, empat perak dan 11 gangsa.
Oleh Shahrul Qaizat




