MUKAH, 16 Oktober: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dan merampas sebilah parang berhulu hitam sepanjang kira-kira 41 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian tetak di Kampung Litong, Mukah.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan polis pada 15 Oktober berhubung kejadian seorang lelaki cedera akibat ditetak menggunakan parang di kawasan tebingan sungai Kampung Litong.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 51 tahun mengalami kecederaan pada telinga kanan sebelum pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah selepas keluar menangkap ikan pada awal pagi.

“Mangsa memaklumkan bahawa dia telah ditetak oleh seorang lelaki di kawasan tebingan sungai Kampung Litong.
“Sehubungan itu, mangsa segera dibawa ke Hospital Mukah untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku telah menetak mangsa menggunakan parang.
Dalam pada itu, mangsa dan suspek mempunyai hubungan kekeluargaan iaitu mangsa merupakan bapa saudara kepada suspek.
“Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada pertikaian apabila mangsa menuduh suspek terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Walau bagaimanapun, suspek didapati negatif dadah setelah menjalankan ujian saringan awal air kencing, katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara berbahaya.
Dalam pada itu, Mahkamah Majistret Mukah telah meluluskan 4 hari tempoh reman terhadap suspek sehingga 20 Oktober 2026 setelah membuat permohonan reman bagi membantu siasatan, hari ini.
Justeru, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.
Oleh Adibfahmy





