SIBU: Seorang lelaki cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabit dalam kemalangan kendiri berhampiran Kilang Batu Bata Lama, jejambat Sibu-Bintulu, di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.36 petang.
Menurutnya, mangsa berusia 41 tahun didapati sedar dan tidak tersepit di dalam kenderaan.

“Pasukan bomba membantu mangsa keluar dari kenderaan sebelum membawanya ke tempat selamat.
“Mangsa kemudiannya diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan lewat petang ini.
Beliau berkata, operasi yang melibatkan enam anggota dan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) itu tamat pada 5.02 petang selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.
Oleh Akun Giman





