Ribut: DBKU diminta kenal pasti pokok berisiko

Facebook
WhatsApp
DATUK Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ditemui media selepas menghadiri Seminar Wanita ‘Keluarga Idaman Wanita: Bahagia Hingga ke Syurga’ di Auditorium Wisma Sabati, hari ini.

PETRA JAYA: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) diminta mengenal pasti pokok-pokok yang berisiko tumbang susulan kejadian ribut kuat yang melanda beberapa kawasan di sekitar Kuching, semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Undang-Undang MA63 dan Hubungan Negeri-Negeri Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko terhadap keselamatan masyarakat, khususnya pengguna jalan raya.

Menurutnya, hujan lebat dan ribut kuat semalam menyebabkan banyak pokok tumbang, termasuk menghalang beberapa laluan di kawasan Samariang.

“Memanglah yang kita utamakan keselamatan masyarakat kita, pengguna jalan raya. Semalam adalah kes yang agak khas kerana hujan dan ribut yang begitu kuat.

“Banyak pokok tumbang dan memang ini dalam perhatian pihak DBKU. Semalam pun pihak DBKU sudah turun dan melihat keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Seminar Wanita ‘Keluarga Idaman Wanita: Bahagia Hingga ke Syurga’ di Auditorium Wisma Sabati, hari ini.

Sharifah Hasidah berkata, sekiranya diperlukan, kerja pemangkasan pokok akan dilaksanakan bagi memastikan pokok yang berisiko tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

“Insya-Allah kita akan pastikan agar keselamatan pengguna-pengguna jalan raya kita utamakan. Jadi jika perlu kita nak pangkas pokok-pokok, insya-Allah DBKU akan melaksanakan tindakan.

“Yang paling penting adalah kita utamakan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan beberapa buah rumah turut terjejas akibat kejadian ribut berkenaan.

Oleh Shikin Mahmud