MARUDI: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat untuk membawa pembangunan ke Baram, khususnya Marudi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata, pelbagai pembangunan infrastruktur dan projek rakyat, termasuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), telah dilaksanakan di Marudi bagi meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan rakyat.
“Jika 10 tahun lalu, kita dapat melihat keadaan jalan yang tidak begitu baik dan perjalanan dari Miri ke Marudi mengambil masa sehingga tiga jam, tidak termasuk masa menunggu feri untuk sampai ke pekan Marudi.
“Bagaimanapun, hari ini perjalanan dari Miri ke Marudi menggunakan jalan yang lebih baik dan hanya mengambil masa kira-kira satu jam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Jubli 100 Tahun Penerokaan Poyut dan Ulang Tahun Ke-80 Penubuhan Persatuan Foochow Baram di Dewan Suarah Baram, malam tadi.

Penguang berkata, pembinaan jalan baharu dari Eastwood Valley, Miri ke Marudi kini sedang dilaksanakan dan apabila siap kelak, tempoh perjalanan dijangka dapat dipendekkan kepada kira-kira 30 minit.
“Jambatan Marudi sudah siap, jalan baharu dari Miri ke Marudi sedang dalam pembinaan dan satu lagi projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan hotel tiga bintang yang akan mengubah wajah Marudi,” katanya.
Menurutnya, peruntukan bagi pembinaan hotel berkenaan telah mendapat kelulusan Kabinet Sarawak pada Jun lalu, manakala projek sambungan tebing sungai dari Kubu Hose hingga ke Dewan Suarah turut akan dilaksanakan.
“Jika anda datang ke Marudi untuk menyaksikan Regata Baram pada masa akan datang, anda akan melihat perubahan Marudi yang lebih menarik dengan pembangunan yang semakin pesat,” katanya.
Pada masa sama, Penguang menggesa golongan usahawan dan pemimpin masyarakat Foochow tampil bekerjasama serta menyumbang kepada usaha membangunkan Marudi.
Beliau berkata, masyarakat Foochow telah memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi bukan sahaja di Baram, malah di seluruh Sarawak.
Turut hadir isteri beliau, Datin Monica Ukong Jaya; Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang; Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Foochow Sarawak, Kaunselor JBK Lau Khing Hung; dan Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Foochow Malaysia, Dato Dong Sech Sing.
Oleh Jiku Juguong





