Larian/Jalan Santai Batik 2026 perkasa gaya hidup sihat dan hubungan komuniti

Facebook
WhatsApp
PPWS BERSATU...Dato Norhyati bersama memotong kek yang diketuai Hasbi. Foto PPWS Negeri

LIMBANG: Program Larian/Jalan Santai Batik 2026 anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Bahagian Limbang/Lawas bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi PPWS Negeri, Dato Norhyati Mohd Ismail berkata, penganjuran program itu memperlihatkan komitmen PPWS dalam memperkasakan peranan wanita menerusi aktiviti kemasyarakatan, kesihatan dan kesejahteraan.

Menurutnya, program berkenaan turut menjadi platform memperkukuh jaringan persahabatan dan hubungan antara komuniti, termasuk merentasi sempadan.

“PPWS sentiasa komited untuk menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang sihat, aktif dan bersatu padu.

“Program seperti Larian/Jalan Santai Batik ini memberi peluang kepada kita untuk bersenam, berinteraksi dan pada masa sama mengeratkan hubungan antara komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norhyati berkata, penyertaan peserta dari Brunei Darussalam menjadikan program itu lebih istimewa kerana mencerminkan hubungan erat serta semangat persahabatan antara masyarakat Sarawak dan negara jiran.

Beliau berkata, pemilihan konsep batik sebagai identiti program turut menyerlahkan keunikan warisan dan budaya, selain mewujudkan suasana ceria serta menarik sepanjang program berlangsung.

Katanya, PPWS optimis program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif memupuk gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan serta membina komuniti yang lebih aktif, harmoni dan sejahtera.

Kira-kira 200 peserta terdiri daripada warga Limbang dan Lawas, termasuk peserta dari Brunei Darussalam, menyertai program berkenaan.

Oleh Adeng Edrus