BETONG: Ekspedisi Jelajah Pedalaman Sarawak (XPDC) 3.0 melabuhkan tirai selepas dua hari menelusuri laluan Ulu Kota, Ulu Skrang dan Ulu Entabai bagi meninjau secara langsung keadaan infrastruktur serta keperluan perhubungan masyarakat di kawasan pedalaman.
Ekspedisi itu merupakan siri ketiga selepas XPDC ke Bario dan pedalaman Belaga, dengan tumpuan kali ini diberikan kepada laluan bekas balak yang telah diambil alih kerajaan Sarawak dan berpotensi untuk dinaik taraf.
Tinjauan lapangan berkenaan membolehkan kerajaan mengenal pasti laluan strategik yang berpotensi dibangunkan sebagai jaringan penghubung ke kawasan pedalaman yang masih berdepan keterbatasan akses jalan raya.
Usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperluas jaringan perhubungan, khususnya bagi memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman menikmati akses infrastruktur yang lebih baik.
Sepanjang ekspedisi, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut meninjau pelbagai projek dan lokasi selain mendengar secara langsung keperluan masyarakat setempat.
Menurut Uggah, tinjauan di lapangan amat penting bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan laluan dan cabaran yang dihadapi penduduk di kawasan pedalaman.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan JKR, agensi berkaitan, wakil rakyat, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum serta komuniti setempat atas kerjasama dalam menjayakan XPDC 3.0.
“Terima kasih atas sambutan dan sokongan yang diberikan sepanjang ekspedisi ini,” katanya.
Walaupun XPDC 3.0 telah berakhir, hasil tinjauan tersebut dijangka menjadi antara input penting dalam usaha merancang penambahbaikan jaringan perhubungan dan infrastruktur di kawasan pedalaman Sarawak.
Komitmen berkenaan selari dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan infrastruktur tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya turut merangkumi komuniti luar bandar dan pedalaman demi meningkatkan mobiliti, ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Oleh Adi Safarman




