KUCHING: Sarawak kini dalam keadaan siap siaga untuk melaksanakan pembenihan awan bagi membantu meningkatkan paras air di kawasan hidro yang semakin menurun, namun pelaksanaannya masih bergantung kepada keadaan cuaca dan kewujudan awan yang sesuai.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak Energy Berhad (SEB) telah mengemukakan surat permohonan untuk menjalankan pembenihan awan susulan keadaan paras air di kawasan hidro yang semakin menurun.
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), namun pelaksanaan pembenihan awan memerlukan keadaan cuaca yang sesuai.
“Kita tidak dapat mengadakan pembenihan awan tanpa awan. Jadi, sebaik sahaja keadaan mengizinkan, mereka akan melaksanakannya.
“Jika hujan berterusan, kita akan terus memantau dan berada dalam keadaan siap siaga kerana situasi paras air semakin kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kemahiran Kraf Tangan 2025/2026 anjuran IWCT di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN), berkata, permohonan pembenihan awan itu dibuat atas dua faktor, termasuk keadaan jerebu yang sebelum ini melanda Sarawak dan penurunan paras air di kawasan hidro.
Bagaimanapun, katanya, keadaan jerebu kini menunjukkan perkembangan lebih baik apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) telah menurun.
“Pada masa ini API sudah menurun dan keadaan semakin baik, tetapi SEB telah mengemukakan surat untuk memohon pembenihan awan di kawasan hidro kerana paras air semakin menurun,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan dan bersedia untuk mengambil tindakan sebaik keadaan cuaca mengizinkan pelaksanaan pembenihan awan.
Oleh Adele Rissa



