Bekalan air dalam 12 jam, Uggah gesa hentikan pembakaran terbuka

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kemahiran Kraf Tangan 2025/2026 anjuran IWCT di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) di seluruh Sarawak diberi tempoh maksimum 12 jam untuk memastikan bekalan air disalurkan kepada penduduk selepas menerima aduan mengenai kekurangan bekalan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, masalah kekurangan bekalan air di beberapa kawasan kini antara perkara yang diberi perhatian oleh jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang jelas telah ditetapkan bagi menangani masalah berkenaan, dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus membekalkan air minuman di kawasan yang memerlukannya.

“Di mana ia boleh dilakukan, kita mahu sebanyak mungkin air dihantar oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) kerana mereka mempunyai kapasiti untuk menghantar air yang lebih baik dan lebih banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kemahiran Kraf Tangan 2025/2026 anjuran IWCT di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN), berkata JPBB turut diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap dua perkara utama, iaitu kawasan titik panas yang berisiko berlaku kebakaran dan masalah kekurangan bekalan air.

Katanya, tindakan segera perlu diambil terhadap aduan kekurangan air dengan KPI ditetapkan pada tempoh maksimum 12 jam daripada masa aduan diterima.

“Dalam tempoh 12 jam itu, bekalan air mesti disalurkan kepada penduduk yang membuat aduan mengenai kekurangan air,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah turut menggesa orang awam supaya menghentikan aktiviti pembakaran terbuka sehingga keadaan semasa bertambah baik.

Katanya, pembakaran terbuka boleh mencetuskan kebakaran, justeru kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi mengelakkan kejadian yang boleh memburukkan keadaan semasa.

“Kita berharap orang awam turut bekerjasama dan tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia boleh mencetuskan kebakaran.

“Jika ada keperluan untuk melakukan pembakaran, lakukan dengan sangat berhati-hati. Tetapi kita merayu supaya pembakaran terbuka dihentikan sekarang sehingga keadaan menjadi lebih baik,” katanya.

Oleh Adele Rissa