KOTA SAMARAHAN: Dua lelaki tempatan ditahan atas kesalahan jenayah dan dadah dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, malam tadi hingga awal pagi tadi.
Operasi yang bermula 10.00 malam hingga 2.00 pagi melibatkan sekatan jalan raya (SJR), pemeriksaan mengejut serta rondaan pencegahan jenayah di kawasan tumpuan dan lokasi panas sekitar Kota Samarahan.
Sepanjang operasi, sebanyak 50 kenderaan dan 56 individu diperiksa, manakala enam saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan, masing-masing bagi kes yang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes dadah, polis merampas satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat 0.55 gram.
IPD Kota Samarahan akan terus mempergiatkan rondaan dan operasi berfokus di kawasan panas bagi mencegah jenayah, meningkatkan pematuhan undang-undang serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.




