ADENG IDRUS
LAWAS: Pengagihan sumbangan makanan daripada Jabatan Pertanian, NADMA dan Kementerian Kewangan akan diteruskan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lawas.
Setakat ini pengurusan pengagihan bantuan makanan berjalan dengan lancar, walaupun petugas yang terlibat terpaksa berdepan dengan cabaran perjalanan yang jauh, cuaca yang tidak menentu dan sebagainya.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu semua urusan pengedaran bantuan makanan itu diselaras oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang dan Daerah Lawas serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lawas di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian , Industri Terminal dan Keusahawan (MINTRED), Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan ketua-ketua jabatan barisan hadapan Covid-19.
Awang Tengah juga menyeru agar proses pengedaran bantuan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu tidak melibatkan kehadiran penduduk yang ramai di sesuatu tempat.
Bagi bantuan makanan untuk daerah Lawas fasa pertama menyaksikan 7,310 Ketua Isi Rumah(KIR) bagi DUN Bukit Sari menerima sumbangan bantuan pek makanan bernilai RM219,000.00.
Manakala 5,091 KIR daripada DUN Ba’kelalan diagihkan dengan kos RM190,216.80.
Sumbangan bantuan makanan fasa pertama itu adalah atas inisiatif Awang Tengah dan Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang mengurus sumbangan bantuan makanan untuk DUN Ba’kelalan.
Bagi bantuan Sarawakku Sayang pula, sejumlah 5,537 KIR dari DUN Ba’kelalan menerima sumbangan pek makanan bernilai RM276,850.00, manakala DUN Bukit Sari, 7,310 KIR menerima bantuan makanan Sarawakku Sayang bernilai RM365,500.00.
Selain itu bantuan daripada kerajaan persekutuan melalui NADMA pula membabitkan seramai 500 penerima. Mereka diagihkan pek barangan makanan bernilai RM50.00 setiap pek. Kos keseluruhan daripada NADMA ialah RM25,000.00.
Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan (MOF) turut menghulurkan bantuan makanan. Bantuan MOF itu membabitkan 2000 penerima dengan setiap pek bantuan bernilai RM50.00. Kos keseluruhan bantuan MOF itu bernilai RM100,000.
Bagi daerah Lawas seramai 1338 penerima bantuan itu adalah daripada senarai JKM Lawas. Kedua-dua bantuan MOF dan NADMA diurus oleh JKM yang diagih oleh JPAM, BOMBA dan agensi yang dikenal pasti oleh JKM Lawas.
Sementara itu, Jabatan Pertanian Lawas turut menghulurkan bantuan berupa hasil tani yang melibatkan 15 metrik tan buah-buahan, sayuran, serai, kelapa tua dan lainnya.
Bantuan Jabatan Pertanian ini diselaras oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lawas dengan kerjasama Pusat Khidmat Parti PBB Bukit Sari.
Seramai 500 golongan sasar diagihkan untuk DUN Bukit Sari dan 500 orang lagi untuk DUN Ba’kelalan yang dibantu Pusat Khidmat Parlimen Lawas.
Awang Tengah berharap agar rakyat di Lawas supaya terus kekal patuh kepada arahan PKP.
Malah beliau menasihatkan mana-mana pihak atau individu yang tercicir daripada menerima bantuan makanan supaya berhubung dengan jawatankuasa bencana daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sepanjang arahan PKP ini, bantuan makanan diagih kepada semua orang tanpa mengira ideologi politik, latar belakang mahupun kewarganegaraan.