MIRI: Sebuah lori treler terbakar kira-kira 40 peratus di bahagian belakang dalam kejadian berhampiran Shell Permyjaya, di sini, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 5.50 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi.
Jentera bomba tiba pada 6.04 pagi, kira-kira 13 kilometer dari balai, dan mendapati bahagian belakang treler terbabit sedang terbakar.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah treler dengan kira-kira 40 peratus bahagian belakang terbakar.

“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu nozel, manakala bekalan air diperoleh daripada pam jentera bomba.
Kebakaran berjaya dikawal pada 6.15 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya 10 minit kemudian selepas keadaan disahkan selamat.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih belum dikenal pasti.
Oleh Liong Chai Ling





