4,196 pekebun kecil tunjang sektor agrikomoditi Sarikei 

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Huang Tiong Sii berucap di Program Karnival Agrikomoditi MADANI, bertempat di Dewan Sentral Sarikei, semalam.

SARIKEI: Seramai 4,196 pekebun kecil yang mengusahakan kawasan seluas 12,877 hektar merupakan antara tunjang sektor agrikomoditi Sarikei, sekali gus memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan serta menggerakkan kegiatan ekonomi setempat.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata kawasan seluas itu melibatkan tanaman komoditi kelapa sawit, getah, koko dan lada.

“Sebagai Ahli Parlimen Sarikei, saya amat berbesar hati kerana program ini dianjurkan di sini. Sarikei mempunyai seramai 4,196 pekebun kecil dengan keluasan bertanam seluas 12,877 hektar yang melibatkan komoditi kelapa sawit, getah, koko dan lada.

“Angka ini menggambarkan kepentingan sektor agrikomoditi dalam kegiatan ekonomi setempat, khususnya dalam menyokong pendapatan pekebun kecil serta menggerakkan perusahaan dan aktiviti ekonomi di Sarikei,” katanya ketika berucap sempena Program Karnival Agrikomoditi MADANI di Dewan Sentral Sarikei, semalam.

Katanya, kunjungan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, ke Sarikei memberi peluang untuk melihat sendiri keadaan sektor agrikomoditi di lapangan dan memahami aspirasi masyarakat yang bergantung kepada sektor tersebut.

“Hubungan yang baik antara masyarakat, kementerian dan agensi penting supaya program yang dirancang dapat mengambil kira keadaan serta potensi yang ada di Sarikei ini,” katanya.

Tambahnya, pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang karnival, termasuk perkongsian mengenai kerjaya dan latihan, bantuan kepada pekebun kecil, mekanisasi serta pembangunan produk.

“Perkongsian mengenai kerjaya dan latihan, misalnya, memberi pendedahan kepada generasi muda tentang pilihan yang boleh diterokai.

“Slot mengenai tumbuhan tempatan dan endemik di Sarikei pula mengetengahkan khazanah alam semula jadi yang begitu dekat dengan masyarakat di kawasan ini, sekali gus menambah kefahaman tentang nilai sumber tempatan yang kita miliki,” katanya.

Katanya, sesi penerangan BUDI Agrikomoditi membolehkan pekebun kecil mendapatkan maklumat secara langsung mengenai bantuan yang disediakan, manakala demonstrasi mekanisasi sawit dan pembuatan coklat memperlihatkan potensi teknologi serta kemahiran dalam meningkatkan kecekapan dan nilai hasil komoditi.

TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyerahkan cenderamata kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Dalam pada itu, Tiong Sii berkata, program tersebut turut menyaksikan penyerahan peralatan mekanisasi sawit, bakul makanan kepada pekebun kecil serta bantuan insentif kepada pekebun lada dan koko.

“Sumbangan dalam pelbagai bentuk ini mencerminkan keprihatinan terhadap keperluan pekebun kecil, sama ada untuk menyokong kegiatan pengeluaran atau membantu meringankan keperluan harian mereka.

“Pada masa yang sama, penyerahan ini turut membawa makna sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan pekebun kecil yang terus menjadi sebahagian penting daripada kegiatan agrikomoditi di Sarikei,” katanya.

Beliau berkata, hasil komoditi yang diusahakan pekebun kecil bukan sahaja menjadi sumber pendapatan mereka, malah mempunyai kesan lebih luas terhadap kegiatan perdagangan, perkhidmatan dan perusahaan di kawasan tersebut.

Melihat kepada potensi masa depan, katanya, perubahan teknologi, kaedah pengeluaran serta kehendak pasaran boleh membuka ruang baharu untuk meningkatkan produktiviti serta menghasilkan produk agrikomoditi bernilai lebih tinggi.

“Dengan asas kegiatan agrikomoditi yang telah lama terbina di sini, perkembangan sektor tersebut boleh menjadi sebahagian daripada kekuatan ekonomi Sarikei pada masa hadapan,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau mahu generasi muda mengambil bahagian dalam memastikan kesinambungan sektor berkenaan dengan memanfaatkan kelebihan mereka dalam teknologi dan dunia digital.

“Anak-anak muda Sarikei mempunyai kelebihan dari segi pendedahan kepada teknologi, penggunaan platform digital dan pendekatan pemasaran yang lebih luas.

“Apabila kemahiran ini digabungkan dengan pengalaman serta pengetahuan generasi terdahulu, mereka boleh membantu memperkenalkan kaedah pengurusan yang lebih moden, memperkukuhkan pemasaran digital serta membawa produk tempatan ke pasaran yang lebih luas,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Julau yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Datuk Larry Sng Wei Shien, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Dato Yusran Shah Mohd Yusof, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Shafrie Saili, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Shafie Taib, Temenggung Lau Hieng Ping dan Pemanca Chan Phan Chan.

Oleh Earl Anek