Fadillah selamat jalani pembedahan pintasan jantung

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Rabu lepas.

Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini memaklumkan keluarga Fadillah merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada pasukan perubatan IJN atas komitmen, kepakaran dan layanan profesional mereka sepanjang proses rawatan.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada pihak kementerian, masjid dan surau, rumah ibadat, agensi kerajaan serta swasta, pertubuhan bukan kerajaan, keluarga, sahabat handai serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan dan memberikan sokongan kepada beliau,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, IJN dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa Fadillah terus menunjukkan perkembangan positif selepas berjaya menjalani prosedur pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) pada Rabu, selepas dimasukkan ke institut itu pada 28 Julai lepas dan menjalani angiogram koronari pada keesokannya.

 “Susulan perbincangan dengan pasukan pelbagai disiplin, pasukan perubatan memutuskan bahawa pembedahan pintasan arteri koronari merupakan kaedah rawatan yang paling sesuai. 

“Pembedahan pintasan berganda itu dijalankan pada 12 Ogos oleh Pakar Perunding Kanan Bedah Kardiotorasik IJN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib dan Prof Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub, bersama-sama Felow Klinikal Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular Dr Ahmad Mahir Shamsuddin,” menurut kenyataan itu.

Pembedahan berkenaan dijalankan mengikut protokol Pemulihan Dipertingkatkan Selepas Pembedahan (ERAS) IJN, iaitu pendekatan pelbagai disiplin yang bertujuan menggalakkan pergerakan awal pesakit, mengurangkan komplikasi serta mempercepatkan proses pemulihan dengan lebih selamat.

Dalam pada itu, Dr Mohamed Ezani yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN berkata pasukan perubatan berpuas hati dengan perkembangan Timbalan Perdana Menteri itu, memandangkan rawatan dan proses pemulihan berjalan mengikut perancangan dan keadaan beliau terus bertambah baik seperti yang dijangkakan.

“Sebagai sebahagian daripada program pergerakan awal beliau pada 13 Ogos, Timbalan Perdana Menteri berjaya melakukan senaman berbasikal sejauh 2.8 kilometer di bawah pengawasan pasukan klinikal IJN.

“Beliau kemudiannya dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi ke wad biasa petang itu, dan meneruskan pemulihan jantung selepas CABG,” katanya. – Bernama