Projek naik taraf SK Nanga Tibu, SK San Semanju diteruskan – KPM

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi.

KUALA LUMPUR, 14 Oktober: Projek pembangunan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tibu dan SK San Semanju diteruskan dengan sumber peruntukan serta skop pembangunan yang berbeza, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Perkembangan itu dinyatakan KPM menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat susulan pertanyaan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, mengenai status penelitian semula projek pembangunan kedua-dua sekolah berkenaan yang pada asalnya dirancang di bawah inisiatif Daif Sarawak RM1 bilion (Fasa 3).

Menurut KPM, projek pembangunan semula SK Nanga Tibu yang pada asalnya dirancang di bawah inisiatif berkenaan kini dilaksanakan menggunakan peruntukan pembangunan sedia ada kementerian.

Projek bernilai RM2 juta itu melibatkan pembinaan empat unit rumah guru sebagai ganti kepada kemudahan sedia ada dan tidak lagi dilaksanakan di bawah inisiatif Daif Sarawak RM1 bilion (Fasa 3).

Sementara itu, projek pembangunan semula SK San Semanju bernilai RM3.5 juta melibatkan pembinaan asrama baharu lelaki dan perempuan yang masing-masing berkapasiti 30 orang, dua unit rumah guru serta sebuah dewan makan berkapasiti 50 orang.

KPM turut memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sedang menyediakan reka bentuk bagi projek berkenaan.

Secara keseluruhan, kedua-dua projek itu bernilai RM5.5 juta dan melibatkan penyediaan kemudahan kediaman guru, asrama murid serta dewan makan.

Bagaimanapun, jawapan KPM tidak menyatakan tarikh mula dan jangkaan siap bagi kedua-dua projek tersebut.

Oleh Adi Safarman