Jerebu: Sekolah boleh ditutup jika IPU lebih 200 – Wong

Facebook
WhatsApp
SEKOLAH di kawasan yang mencatat bacaan IPU melebihi 200 boleh ditutup atas keputusan pengetua atau guru besar berdasarkan pemantauan serta nasihat JPN dan PPD. Foto Ryza Kamil

TAIPING: Sekolah di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 boleh ditutup atas keputusan pengetua atau guru besar, berdasarkan pemantauan serta nasihat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) berkaitan pengurusan kesan jerebu yang berkuat kuasa, termasuk SPI dikeluarkan pada 2016, 2019 dan 2023.

Beliau berkata JPN dan PPD akan memantau keadaan jerebu serta bacaan IPU dari semasa ke semasa, manakala pihak pentadbir sekolah bertanggungjawab membuat keputusan berdasarkan keadaan setempat dan nasihat diterima.

“Jika bacaan IPU melebihi 100, maka pihak sekolah akan menghentikan aktiviti-aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid dan disarankan aktiviti keramaian serta sukan di luar bangunan juga ditangguhkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Toyo Tyre Malaysia dan UniMAP di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa kawasan di seluruh negara yang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat semalam.

Katanya KPM sentiasa meneliti dan memantau situasi jerebu menerusi JPN dan PPD bagi memastikan kesihatan serta keselamatan murid terus terpelihara.

“JPN, PPD dan pentadbir mempunyai pengalaman secukupnya untuk membuat keputusan dari semasa ke semasa serta melakukan pemantauan sepanjang masa demi kesihatan anak-anak kita,” katanya. – Bernama