33 pencipta kandungan Malaysia tercalon bagi Anugerah TikTok Asia Tenggara

Facebook
WhatsApp
TikTok melancarkan Anugerah TikTok Asia Tenggara, anugerah serantau sulung bertemakan The Ones Who Spark It.

KUALA LUMPUR, 14 Oktober: TikTok melancarkan Anugerah TikTok Asia Tenggara, iaitu anugerah serantau sulung platform itu bagi mengiktiraf pencipta berimpak tinggi dan kandungan yang berjaya mencetuskan gelombang positif dalam komuniti.

Pengurus Besar Operasi Kandungan TikTok bagi Asia Tenggara Angga Anugrah Putra berkata inisiatif itu bertujuan memberikan peluang kepada bakat tempatan untuk mengetengahkan kreativiti mereka pada peringkat serantau, sekali gus mengembangkan kerjaya dalam bidang digital.

“Di TikTok, trend tidak muncul begitu sahaja. Ia mencetuskan perbualan yang bermakna, fenomena budaya, serta impak nyata yang melangkaui skrin telefon.

“Barisan Calon Kebangsaan TikTok Awards tahun ini telah berjaya menterjemahkan kreativiti dan minat mereka menjadi peluang untuk membina komuniti yang pelbagai, menjana mata pencarian yang mampan dan mengembangkan perniagaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut platform penemuan global, sebanyak 33 pencipta kandungan Malaysia dicalonkan dalam 11 kategori dengan pencipta yang memperoleh undian tertinggi dalam setiap kategori akan berpeluang mewakili Malaysia ke peringkat serantau.

Bertemakan The Ones Who Spark It, anugerah itu membuka fasa pengundian peringkat tempatan dari 12 hingga 26 Oktober bagi membolehkan pengguna TikTok memilih calon kegemaran mereka di negara masing-masing.

Kategori yang dipertandingkan merangkumi Creator of the Year, Rising Creator, Education, Sports, Food, Entertainment, Beauty & Fashion, Lifestyle, Popular Video, TikTok LIVE serta TikTok Shop Creator of the Year.

Antara calon dari Malaysia ialah personaliti digital dan usahawan tempatan seperti @khairulaming, @sofyank96 dan @iamadamshamil yang tercalon dalam kategori Creator of the Year selain pencipta kandungan yang mengetengahkan budaya tempatan dan sedang meningkat naik seperti @ying_warisan.malaysia, @deadpudds, @sandrahanayu dan yang lain.

Pengguna boleh mengundi dengan membuat carian #TikTokAwardsSEA menerusi aplikasi TikTok atau mengakses laman mikro anugerah melalui pautan (melalui peranti mudah alih) https://activity.tiktok.com/t/ZSb3SfABo/.

Setiap pengguna layak menerima sekurang-kurangnya 15 undian sehari yang boleh diagihkan kepada calon dalam mana-mana kategori.

Pengguna juga dibenarkan memberikan beberapa undian kepada calon yang sama dalam sesuatu kategori.

Wakil negara bagi Anugerah TikTok akan diumumkan pada 6 November manakala pemenang Anugerah TikTok Asia Tenggara 2026 diumumkan pada 27 November di Bali, Indonesia.- Bernama