JAIS perkukuh integriti menerusi Audit Dalaman ABMS 2026

Facebook
WhatsApp
INTEGRITI…Sesi Audit Dalaman ABMS-JAIS Tahun 2026 sedang berlangsung. Foto JAIS

KUCHING: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) terus memperkukuh tadbir urus, integriti dan akauntabiliti menerusi pelaksanaan Audit Dalaman MS ISO 37001:2025 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS-JAIS) Tahun 2026.

Audit yang berlangsung mulai 12 hingga 28 Ogos itu bertujuan memastikan pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah JAIS terus mematuhi keperluan MS ISO 37001:2025, selain mengenal pasti ruang penambahbaikan secara berterusan.

Mesyuarat Pembukaan Audit Dalaman ABMS-JAIS telah diadakan di Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching, di sini, baru-baru ini.

MESYUARAT…Antara pegawai JAIS ketika Mesyuarat Pembukaan Audit Dalaman ABMS-JAIS Tahun 2026 di Kuching. Foto JAIS

Mesyuarat secara hibrid itu dipengerusikan Timbalan Pengarah 1 (Dasar) JAIS, Ustaz Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masuine dengan penyertaan pegawai dari Ibu Pejabat JAIS serta Pejabat Agama Islam Bahagian.

Turut hadir, Pasukan Audit Dalam ABMS-JAIS yang diketuai Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian, Ustaz Mohammad Saharuddin Jamali serta pemilik prosedur kerja ABMS-JAIS, Sekretariat ABMS-JAIS, wakil Ketua Bahagian dan Juara Integriti JAIS.

Mengikut pelan ditetapkan, audit dalaman berkenaan akan dilaksanakan sehingga 28 Ogos sebelum Mesyuarat Penutupan Audit Dalaman ABMS-JAIS dijadualkan pada 7 September depan.

Mesyuarat penutupan itu akan membentangkan hasil penemuan serta rumusan keseluruhan audit bagi menilai tahap pelaksanaan sistem berkenaan.

Pelaksanaan audit itu mencerminkan komitmen berterusan JAIS dalam membudayakan persekitaran kerja bebas rasuah, selain memantapkan tadbir urus dan integriti dalam penyampaian perkhidmatan.