SEMATAN: Usaha pemuliharaan penyu di Pulau Talang Besar dilaksanakan secara menyeluruh, bermula sebaik penyu mendarat di pantai sehingga kembali semula ke laut.
Dua Renjer Hidupan Liar daripada Perbadanan Hutan Sarawak (SFC), Magat Amau dan Aldrin Lawrence Atol, mendemonstrasikan proses berkenaan semasa Program Sesi Pengenalan Media SFC anjuran SFC di Pulau Talang Besar, Sematan baru-baru ini.
Pulau Talang Besar boleh diakses menggunakan bot dari Jeti Telok Melano dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit, bergantung kepada keadaan laut.
Setiap penyu yang mendarat akan diperiksa bagi menentukan sama ada mempunyai tag pengenalan atau sebaliknya untuk tujuan dokumentasi dan pemantauan.
Pemeriksaan turut melibatkan pengukuran saiz penyu serta pembersihan bahagian karapas atau tempurung daripada teritip yang melekat pada permukaannya.
Kerja-kerja pengambilan telur pula dilakukan secara manual sebaik proses peneluran selesai, sebelum telur dipindahkan ke kawasan penetasan yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko gangguan serta meningkatkan peluang penetasan.
Anak penyu yang menetas kemudiannya dilepaskan ke laut sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan kelangsungan populasi penyu di kawasan berkenaan.
Namun, pelepasan itu bukan bermakna tugas pemuliharaan berakhir kerana anak penyu berkenaan mungkin mengambil masa sehingga 25 tahun sebelum kembali semula ke pantai kelahirannya untuk bertelur.
Tempoh panjang itu menjadi antara cabaran terbesar usaha pemuliharaan penyu apabila kehidupan spesies berkenaan selepas meninggalkan pantai sehingga mencapai usia matang masih sukar dijejaki dan dikenali sebagai tempoh ‘lost years’.
Warden Taman Negara Tanjung Datu dan Talang-Satang, Mohamad Zulhairi Ineng berkata, penyu biasanya mula bertelur apabila mencapai usia sekitar 25 tahun dan akan kembali ke kawasan asalnya untuk membiak.
“Bila kita lepaskan 1,000 anak penyu ke laut, lebih kurang seekor sahaja daripada jumlah itu yang akan kembali ke tempat asal untuk bertelur.
“Penyu mempunyai keupayaan mengingati tempat ia dilahirkan.

“Sebab itu ketika kita melepaskan anak penyu, kita tidak terus lepaskan dari kain. Sebaliknya, kita biarkan ia bergerak di atas pasir supaya dapat membuat ‘imprint’ terhadap lokasi berkenaan,” katanya ketika ditemui media sempena program berkenaan di Pulau Talang Besar, baru-baru ini.
Menurutnya, anak penyu yang meninggalkan pantai akan berdepan pelbagai ancaman di laut termasuk pemangsa, pencemaran dan sampah sebelum kembali semula ke daratan apabila matang.
Katanya, tempoh antara anak penyu meninggalkan pantai sehingga kembali untuk bertelur itu masih mempunyai banyak persoalan yang belum terjawab.
“Kita tidak tahu apa yang berlaku kepada penyu itu daripada umur sifar sehingga 25 tahun. Tempoh itu dipanggil ‘lost years’,” katanya.
Beliau berkata, sebab itu setiap pelepasan anak penyu bukan sekadar usaha meningkatkan jumlah populasi, sebaliknya merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang bagi memastikan generasi penyu seterusnya terus kembali ke kawasan pembiakan.
Taman Negara Talang-Satang yang diwartakan pada 1999 merupakan antara kawasan penting pemuliharaan penyu di Sarawak dan dikenali sebagai ‘Sarawak Turtle Island’.
Zulhairi berkata, penyu agar atau penyu hijau (Green Turtle) merupakan spesies paling dominan di kawasan berkenaan, membentuk kira-kira 99 peratus daripada pendaratan penyu.
Dua lagi spesies yang direkodkan ialah penyu lipas (Olive Ridley) dan penyu karah (Hawksbill), yang masing-masing lebih jarang mendarat.
“Tahun ini kita sudah merekodkan Olive Ridley, termasuk tiga sarang di Tanjung Datu, manakala Hawksbill juga ada beberapa sarang.
“Ini menunjukkan ketiga-tiga spesies itu masih ada di kawasan kita,” katanya.
Menurutnya, usaha konservasi dilakukan melalui kaedah ‘in situ’ dengan membiarkan telur menetas di lokasi asal serta ‘ex situ’ menerusi pemindahan telur ke pusat penetasan.
Katanya, pemindahan telur ke hatchery dapat mengurangkan ancaman seperti biawak dan air masin yang boleh menjejaskan telur, selain membolehkan kadar penetasan dipantau dengan lebih sistematik.
“Kita menyasarkan kadar penetasan sekitar 80 peratus dalam hatchery. Lagi banyak anak penyu yang kita lepaskan, lagi tinggi harapan untuk lebih banyak penyu kembali bertelur di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Zulhairi berkata, hasil usaha konservasi lebih dua dekad di Tanjung Datu turut menunjukkan perkembangan positif apabila kawasan berkenaan merekodkan lebih 200 sarang ketika pandemik COVID-19 dan 141 sarang tahun lalu.
“Setakat hujung Julai tahun ini, kita sudah merekodkan 84 sarang di Tanjung Datu.“Usaha konservasi yang dilakukan sejak lebih 20 tahun lalu mula membuahkan hasil,” katanya.
Beliau berkata, pemuliharaan penyu juga penting bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem kerana penyu merupakan antara pemangsa semula jadi obor-obor.
Katanya, penurunan populasi penyu berpotensi menyebabkan peningkatan populasi obor-obor yang seterusnya memberi kesan berantai terhadap ekosistem marin.
“Harapan kita apabila melepaskan anak penyu ialah lebih banyak daripadanya akan kembali bertelur di sini.
“Bukan untuk kita ambil atau makan, tetapi supaya ekosistem kita terus berada dalam keadaan baik,” katanya.





