MIRI: Sebanyak 20 saman dikeluarkan dalam Operasi Khas ‘Op Mabuk’ yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, di sepanjang Jalan Miri-Airport, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang bermula 11.00 malam, 12 Ogos hingga 3 pagi, 13 Ogos itu diketuai seorang pegawai kanan polis bersama tujuh anggota trafik IPD Miri.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan bagi mengesan serta mencegah kesalahan lalu lintas, khususnya pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
“Sepanjang operasi, seramai 122 individu terdiri daripada 83 lelaki dan 39 perempuan diperiksa membabitkan 101 kenderaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk memandu tanpa lesen, pengubahsuaian ekzos, cukai jalan tamat tempoh, tidak mempamerkan huruf ‘P’ serta kesalahan teknikal lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan kerana disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.
Suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Miri untuk tindakan lanjut selepas ujian saringan menggunakan alat Screening Device 2 (SD2) mendapati terdapat kandungan alkohol dalam badannya ketika memandu.
Sampel darah suspek turut diambil di Jabatan Forensik Hospital Miri bagi membantu siasatan lanjut.
Mohd Farhan berkata, jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta penjara sehingga dua tahun bagi kesalahan pertama, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang melanggar spesifikasi ditetapkan serta mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Sebarang maklumat berkaitan kesalahan trafik boleh disalurkan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
Oleh Adum Liu




