BAU, 15 Oktober: Polis Bau akan terus memberikan pendidikan kepada orang ramai mengenai kesedaran penipuan bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, ketika dihubungi Utusan Sarawak, penipu menyasarkan semua golongan masyarakat, termasuk pelajar, golongan bekerja, golongan profesional dan pesara.
Beliau berkata, pendidikan kepada masyarakat amat penting bagi membantu orang ramai mengenali dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa pelbagai modus operandi penipuan, termasuk penipuan telefon, penipuan e-dagang, penipuan cinta, penggunaan akaun keldai dan penipuan pembayaran melalui pembayar kod QR.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Bau telah mengadakan ceramah kesedaran antipenipuan kepada pekerja Hollystone Quarry Sdn Bhd pagi ini.
Mohd Haide berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelbagai jenis penipuan serta memberikan pengetahuan kepada mereka tentang langkah-langkah untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa.
Maklumat mengenai talian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di nombor 997, aplikasi Whoscall dan portal Semak Mule turut dikongsikan sebagai langkah pencegahan jenayah komersil.
Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila ditawarkan sesuatu yang kelihatan terlalu baik untuk dipercayai.
“Jika sesuatu tawaran itu terlalu baik untuk dipercayai, pasti ada muslihat di sebaliknya. Sebelum membuat sebarang pelaburan, berbincanglah dengan orang di sekeliling anda dan dapatkan pandangan mereka,” katanya.
Oleh Connie Chieng





